
Berdasarkan Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025 diterbitkan pada Khamis, defisit fiskal persekutuan mengecil kepada RM21.9 bilion pada suku pertama 2025 berbanding RM26.4 bilion tempoh sama tahun lalu.

Defisit kecil bermakna kerajaan tidak terlalu bergantung kepada hutang untuk melaksanakan dasar pentadbirannya, sekali gus meyakinkan pelabur bagi mengembangkan perniagaannya di Malaysia, selain membawa masuk pelabur berpotensi.
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, walaupun ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik memberi cabaran utama kepada kerajaan, penstrukturan kewangan termasuk subsidi bersasar ternyata membuahkan hasil.
Subsidi bersasar dulu ditentang, kini tuai hasil
Beliau juga memuji keupayaan pentadbiran Anwar Ibrahim yang mampu melaksanakan subsidi bersasar, yang menurutnya cuba dielakkan kepimpinan terdahulu walaupun mengetahui dasar itu baik kepada kemampanan kewangan persekutuan.
“Penstrukturan kewangan kerajaan sangat kompleks dan kerajaan Madani mempunyai kekuatan serta berkemampuan melaksanakannya.
“Sebagai contoh subsidi bersasar diesel yang cuba dielakkan kepimpinan dahulu dan mendapat tentangan keras dari sebahagian pihak pada awalnya, kini berjaya dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Laporan itu turut menyaksikan hasil persekutuan meningkat 3% berbanding RM72.1 bilion pada suku sama tahun lalu, dipacu kutipan cukai lebih tinggi terutama peningkatan hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.
Jumlah perbelanjaan juga menurun 2.5% kepada RM94.2 bilion disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi antaranya diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.
Aimi berkata, data terbaru itu menunjukkan penstrukturan kewangan negara di landasan terbaik dengan semua perancangan kerajaan jelas membawa hasil positif.
Beliau juga memuji keupayaan agensi kerajaan mengumpul, menyusun dan memastikan data berkualiti yang digunakan tepat bagi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan sebaiknya.
“Defisit kerajaan berjaya dikurangkan dengan memperkemaskan sistem kutipan cukai hasil dan memastikan pendapatan terkumpul dibelanjakan dengan efisien.
“…mengurangkan pembaziran serta berjaya menambahkan lagi bantuan bersasar kepada rakyat memerlukan. Keseimbangan ini bukan mudah kerana perlu kekuatan politik konsisten, selain perancangan teliti,” katanya.
Tingkat keyakinan pelabur

Mohamad Idham Md Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan, pengurangan defisit dapat meningkatkan keyakinan pelabur, pengukuhan nilai ringgit dan ruang fiskal untuk berdepan kejutan ekonomi masa depan.
Katanya, prestasi itu mampu membina asas untuk transformasi ekonomi jangka panjang, terutama dalam meningkatkan daya saing melalui pelaburan hijau dan industri bernilai tinggi.
“Sektor perlu diberi perhatian termasuk industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor dan ekonomi digital serta pertanian bernilai tambah yang berpotensi meningkatkan produktiviti serta hasil eksport.
“Selain itu, penambahbaikan dalam pentadbiran cukai contohnya cukai progresif boleh mengukuhkan lagi kedudukan fiskal,” kata pensyarah kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan UiTM.
Idham juga berpandangan, keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar dan pengukuhan hasil mencerminkan komitmen terhadap tadbir urus baik walaupun cabaran seperti harga komoditi tidak menentu dan ketidaksamaan pendapatan masih perlu ditangani.
“Laporan suku pertama 2025 menunjukkan kerajaan berjaya menyeimbangkan antara pemulihan ekonomi dan konsolidasi fiskal, dengan indikator utama seperti defisit menurun, pengangguran rendah, dan pertumbuhan sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan perlu memantau kesan inflasi akibat pengurangan subsidi tenaga, sambil memastikan program bantuan sosial cukup menampung kos sara hidup golongan rentan.