Malaysia perlu perkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, kata ahli ekonomi

Malaysia perlu perkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, kata ahli ekonomi

Samirul Ariff Othman berkata daya tahan itu perlu dibina melalui strategi jangka sederhana dan panjang berasaskan pelbagai sumber, penyesuaian teknologi serta perancangan bersepadu.

petronas
Ditubuhkan pada 1974, syarikat minyak dan gas negara, Petronas, kini menjadi entiti yang berupaya mengawal selia semua sumber petroleum di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Malaysia perlu bergerak melangkaui penyelesaian jangka pendek dalam menangani kejutan harga minyak, sebaliknya melaksanakan strategi tempoh panjang bagi mengukuhkan daya tahan, mempelbagaikan sumber tenaga dan melindungi keselamatan negara, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman berkata Malaysia berdepan pengajaran besar daripada krisis minyak 1973 yang menyaksikan negara pengeluar minyak Arab mengenakan sekatan eksport susulan perang dengan Israel.

Samirul Ariff Othman
Samirul Ariff Othman.

Keadaan itu menyebabkan harga minyak global meningkat empat kali ganda dan mencetuskan gangguan ekonomi yang meluas.

“Memiliki sumber petroleum sahaja tidak mencukupi. Perkara lebih penting ialah kawalan, tadbir urus dan jaminan bekalan,” kata Samirul kepada FMT.

“Krisis hari ini mungkin berbeza dari segi bentuknya, tetapi pengajaran asasnya tetap sama: keselamatan tenaga tidak boleh dipisahkan daripada daya tahan negara.”

Pandangan Samirul itu dilontarkan ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak, dengan Iran menyekat pergerakan di Selat Hormuz, laluan sempit strategik yang menjadi laluan kepada satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Hampir 40% bekalan minyak mentah Malaysia melalui selat itu, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko lonjakan harga dan gangguan bekalan.

Ketika krisis itu berlarutan, syarikat minyak dan gas negara, Petronas, memberi jaminan bahawa bekalan bahan api di stesennya di seluruh negara mencukupi sehingga akhir Jun, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan dalam masa terdekat.

Namun, walaupun kenaikan harga minyak global meningkatkan hasil antarabangsa Petronas, pegawai kerajaan memberi amaran keuntungan itu terhakis akibat peningkatan kos subsidi petrol yang ditanggung Putrajaya.

Keadaan itu mencetuskan cadangan supaya kerajaan mengurangkan kuota bulanan petrol bersubsidi bagi rakyat yang layak di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter ketika ini.

Walaupun langkah sedemikian mungkin meredakan kebimbangan segera, Samirul berkata kerajaan juga perlu mencari penyelesaian jangka panjang.

“Keutamaan jelas bagi negara kuasa sederhana seperti Malaysia. Keselamatan tenaga mesti dilihat sebagai elemen teras daya tahan ekonomi dan strategi negara, bukan sekadar isu sektor yang sempit,” katanya.

Kerajaan hanya perlu melihat bagaimana Petronas ditubuhkan sebagai rujukan.

Ditubuhkan pada 1974 sebagai tindak balas terhadap sekatan minyak Arab setahun sebelumnya, syarikat minyak negara itu segera diberi kuasa terhadap semua sumber petroleum di seluruh negara.

Menyifatkan langkah itu sebagai satu ‘anjakan institusi’, Samirul berkata ia mencerminkan tindakan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun yang memperkukuh institusi masing-masing selepas berdepan krisis tenaga.

Langkah itu termasuk mempelbagaikan bekalan dan melabur dalam sumber tenaga alternatif.

Hari ini, Malaysia menghasilkan sehingga 570,000 tong minyak sehari, namun masih menjadi pengimport bersih produk petroleum bertapis, menyebabkan negara terus terdedah kepada kemungkinan kejutan minyak.

Samirul berkata daya tahan perlu dibina melalui strategi jangka sederhana dan panjang yang berasaskan kepelbagaian sumber, penyesuaian teknologi serta perancangan bersepadu.

“Cabaran kita ialah mengemas kini ingatan institusi negara untuk menghadapi dunia yang ancamannya bukan lagi sekadar sekatan eksport.

“Tetapi turut melibatkan laluan strategik, sekatan ekonomi, kesan limpahan konflik dan gangguan maritim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.