Caj pusat data mungkin naik susulan lonjakan harga diesel, kata ahli akademik

Caj pusat data mungkin naik susulan lonjakan harga diesel, kata ahli akademik

Chen ZhiYuan dari University of Nottingham Malaysia berkata kenaikan harga bahan api itu juga mungkin menyebabkan pengendali mengurangkan ujian berkala set jana kuasa sandaran.

data centre
Pusat data berskala besar menggunakan banyak set jana kuasa sandaran berkuasa diesel, menurut Chen ZhiYuan dari University of Nottingham Malaysia. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kenaikan harga diesel susulan perang membabitkan Iran mungkin memaksa pengendali pusat data tempatan menaikkan caj perkhidmatan mereka, selain berisiko mengurangkan ujian berkala terhadap set janakuasa sandaran, kata seorang ahli akademik.

Chen ZhiYuan dari University of Nottingham Malaysia berkata pusat data berskala besar menggunakan ‘berpuluh-puluh set jana kuasa sandaran atau generator berkuasa diesel”.

Chen ZhiYuan
Chen ZhiYuan.

Katanya, pusat data lazimnya bergantung kepada bekalan elektrik grid untuk operasi harian.

Bagaimanapun, generator diesel diperlukan sebagai sumber kuasa sandaran, termasuk bagi sistem penyejukan yang penting untuk mengelakkan pelayan komputer menjadi terlalu panas.

Susulan konflik di Timur Tengah yang menyebabkan Selat Hormuz ditutup, harga diesel melonjak di seluruh dunia.

Di Malaysia, diesel kini (dari 14 hingga 20 Mei) dijual pada harga runcit RM4.87 seliter.

“Pembelian diesel kini menjadi kos operasi yang besar dan pengendali sama ada perlu menanggungnya sendiri atau memindahkan kos itu kepada pelanggan,” kata Chen, profesor yang mengetuai School of Computer and Mathematical Sciences di universiti berkenaan kepada FMT.

Setakat Mac 2026, kira-kira 54 pusat data sedang beroperasi di negara ini, manakala 55 lagi dalam perancangan.

Chen berkata, disebabkan harga bahan api meningkat, pengendali pusat data mungkin memilih mengurangkan ujian berkala terhadap set jana kuasa sandaran yang digunakan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Katanya, kenaikan harga diesel juga akan memaksa pengendali memperuntukkan lebih banyak dana untuk membeli bahan api itu, sekali gus mengurangkan modal bagi menaik taraf peralatan mereka.

Chen berkata sekiranya sekatan di Selat Hormuz berterusan, pasaran tenaga global boleh dengan pantas berubah menjadi persaingan mendapatkan bekalan, menyebabkan harga terus meningkat dan memberi kelebihan kepada pembeli yang mampu membayar lebih tinggi.

“Pengendali kecil yang tidak mempunyai kontrak bekalan jangka panjang paling terdedah kepada risiko ini,” katanya.

Denny Ng
Denny Ng.

Denny Ng dari Sunway University pula berpendapat risiko operasi kepada pusat data masih agak rendah, memandangkan bekalan elektrik negara secara konsisten menunjukkan daya tahan dan kestabilan, sekali gus memastikan operasi industri dapat diteruskan.

Namun, katanya, kenaikan harga diesel boleh mendorong pengendali mempertimbangkan tenaga boleh diperbaharui sebagai alternatif kepada generator berkuasa diesel.

Ng berkata Malaysia kaya dengan sumber semula jadi, menjadikan negara ini hab pembangunan pusat data yang menarik dan berdaya tahan.

“Dengan taburan hujan tinggi dan sinaran matahari sepanjang tahun di pelbagai wilayah, Malaysia mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan air hujan bagi tujuan penyejukan serta memperluas penjanaan tenaga solar dan hidro,” kata Ng, dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Sunway University.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.