
Umumnya, MT103 ialah dokumen dijana selepas proses pemindahan wang antarabangsa selesai. Ia adalah mesej bawah sistem ‘Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication’ (Swift) digunakan dalam pemindahan dari satu bank ke bank lain, lazimnya bank asing.
Dokumen ini juga dikenali sebagai ‘butiran pemindahan kredit pelanggan tunggal’, mengandungi semua maklumat berkaitan transaksi rentas sempadan.

Namun, Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn Bhd, Raymon Ram, membangkitkan sama ada dokumen itu benar-benar berkesan dalam mencegah penyalahgunaan dan penipuan dalam sesuatu pemindahan wang antarabangsa.
“MT103 membolehkan semua data transaksi direkodkan secara standard di peringkat global, namun ketelusan sebenar masih bergantung kepada tahap pendedahan maklumat oleh bank dan pelanggan korporat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun dokumen itu memenuhi keperluan digariskan dalam Cadangan 16 oleh Financial Action Task Force (FATF), masalah tetap wujud apabila transaksi melibatkan pihak ketiga seperti syarikat atau ejen perkapalan.
Cadangan 16 FATF menghendaki semua pemindahan dana rentas sempadan dan domestik yang dilakukan melalui institusi kewangan perlu mengandungi maklumat lengkap pengirim dan penerima.
Ini bertujuan untuk memastikan pemindahan dana dapat dikesan dan dikenal pasti sekiranya berlaku penyalahgunaan sistem kewangan.
“Dalam sektor perkapalan, situasi ini banyak terjadi. Pembayaran sering dilakukan oleh entiti lain dan bukan pihak yang mempunyai obligasi kontrak secara langsung.
“Selagi butiran dalam dokumen dinyatakan secara jelas dan disokong oleh dokumen, ia tidak menjadi masalah tetapi jika pendedahan tidak lengkap, ketelusan terjejas dan risiko risiko kepada institusi kewangan serta pelanggan meningkat,” katanya.
Beliau mendedahkan, kelemahan utama dalam penggunaan dokumen MT103 ialah apabila data penting seperti identiti pemilik sebenar dana atau tujuan pembayaran diisi secara tidak lengkap, kabur atau sengaja dimanipulasi.
“Bank boleh menjadi mangsa jika tidak menjalankan ‘ketelitian wajar’, terutama apabila pembayaran dibuat oleh pihak ketiga.
“Adakala, kecuaian atau sikap sambil lewa dalam memeriksa latar belakang boleh membuka ruang kepada pelanggaran peraturan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengukuhkan transaksi dana rentas sempadan antaranya penggunaan Swift gpi – sistem penjejakan transaksi dari hujung ke hujung, dan menetapkan prinsip ketelusan pembayaran antara pembayar dan penerima.
“Pihak berkuasa seperti Bank Negara perlu menguatkuasakan keperluan dokumentasi yang seragam untuk semua pembayaran oleh pihak ketiga. Ini penting bagi memastikan dokumen MT103 mendedahkan kedua-dua pihak: pengirim asal dan pihak yang memikul obligasi kontrak.
“Syarikat korporat, termasuk ejen perkapalan dan firma lain, mesti secara proaktif menyediakan dokumentasi yang lengkap dan benar, termasuk Surat Aku Janji (LOU) dan kontrak sokongan, bagi mengelakkan kelewatan, syak wasangka atau pelanggaran peraturan,” katanya.