Kes pemandu e-panggilan bunuh Nurul Asikin dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes pemandu e-panggilan bunuh Nurul Asikin dipindah ke Mahkamah Tinggi

Ia selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei.

Tertuduh, Zakwan Mokhtar, 33, sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan membunuh Nurul Asikin Lan yang mayatnya ditemui reput dalam longkang di Tabuan, Kuching, Disember lalu. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan perbicaraan kes pemandu e-hailing yang didakwa membunuh Nurul Asikin Lan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuching.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei untuk memindahkan kes Zakwan Mokhtar, 23, yang didakwa mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

Siow memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat ke atas mayat Nurul Asikin, 28, termasuk pengekstrakan kandungan mesej di aplikasi WhatsApp.

Mengikut pertuduhan, Zakwan didakwa membunuh Nurul Asikin atau lebih dikenali sebagai ‘Amoi’, dengan mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan di sini pada 9.10 malam, 14 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan boleh disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata berkata suspek mengaku melakukan pembunuhan itu kerana terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.