
Asean dikriktik kerana kelembapan menangani krisis politik dan kemanusiaan di negara itu, yang menurut pakar Myanmar, Andrea Passeri, sebahagiannya berpunca daripada keengganan berterusan junta untuk mematuhi Konsensus Lima Perkara Asean.
Namun, Passeri yang juga ketua program hubungan antarabangsa di Taylor’s University berkata, usaha terbaru Malaysia untuk bantuan kemanusiaan menandakan perubahan strategik, dengan melangkah lebih jauh melalui promosi dialog pelbagai saluran bersama pihak berkepentingan.
Katanya, ini amat penting memandangkan terdapat perpecahan mendalam antara pelaku utama, bahkan sesetengah daripada mereka enggan bertemu.
“Kepengerusian Malaysia mencerminkan peralihan pragmatik daripada kerangka yang kaku kepada inisiatif lebih fleksibel dan berorientasikan hasil.
“Orang ramai perlu melihat ini sebagai penyesuaian semula jangkaan Asean, bukan pengabaian terhadap komitmennya. Ia adalah pengiktirafan bahawa penyelesaian politik memerlukan masa lebih lama, kreativiti lebih besar, dan mungkin instrumen baharu melangkaui Konsensus Lima Perkara.
“Keputusan politik masih tersekat, tetapi akses kemanusiaan sedikit-sebanyak bertambah baik. Ia satu kemajuan yang bermakna dalam konteks di mana usaha sebelum ini tidak membuahkan hasil,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kemajuan terhad Konsensus Lima Perkara, namun menyatakan kepuasan terhadap penglibatan kemanusiaan terkini.
“Ke mana arah tuju kita selepas ini masih terlalu awal untuk diputuskan, tetapi saya agak berpuas hati selepas sedekad, ini adalah penglibatan serius pertama yang telah kita jalankan,” katanya dipetik berkata.
Malaysia adalah pengerusi Asean pertama yang berjaya berhubung dengan kedua-dua kerajaan awam Myanmar dan junta, menunjukkan penglibatan tidak semestinya bermaksud pengiktirafan.
Passeri berkata, keputusan Asean membenarkan menteri luar junta memberikan taklimat kepada ahlinya selepas gempa bumi pada Mac, walaupun terdapat sekatan sebelum ini, mencerminkan peralihan beransur-ansur ke arah pragmatisme berprinsip, di mana keperluan kemanusiaan yang mendesak boleh membenarkan pengecualian terhad daripada norma yang ditetapkan.
Thomas Daniel dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa turut menekankan Malaysia sedar tempoh kepengerusiannya selama setahun tidak mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan krisis.
Beliau berkata, sebaliknya Malaysia memberi tumpuan kepada membina asas yang kukuh untuk diteruskan oleh pengerusi berikutnya, dengan menyedari bahawa memulakan dari awal setiap tahun adalah tidak praktikal.
Salah satu aspek utama pendekatan itu ialah usaha Malaysia untuk menginstitusikan utusan khas Asean ke Myanmar melalui penyediaan sumber dan tenaga kerja.
Daniel juga menegaskan, struktur Asean pada asalnya tidak direka untuk menangani konflik dalaman yang besar, tetapi situasi di Myanmar memerlukan ia menyesuaikan diri.
Katanya, mengabaikan isu tersebut atau peranannya yang penting dalam penyelesaian bukanlah pilihan bagi blok itu.
Beliau berkata, jangkaan segera harus difokuskan kepada usaha untuk meredakan keganasan dan memperluaskan bantuan kemanusiaan, kerana penamatan segera konflik adalah tidak realistik.
Bagi mereka yang mengkritik kemajuan Asean, Passeri menekankan asas kerja penting yang perlu dilakukan sebelum kemajuan lebih ketara dapat dicapai, termasuk latihan membina kepercayaan dengan semua pihak berkepentingan dan menyatukan pendirian dalaman blok itu.
“Ini bermakna mengekalkan komunikasi secara berkala dengan semua pelaku konflik, termasuk kumpulan etnik bersenjata dan masyarakat sivil, yang kebanyakannya masih skeptikal terhadap sifat neutral Asean.
“Semua ini tidak menjamin kejayaan, tetapi tanpa usaha asas ini, sebarang rundingan rasmi berisiko gagal sebelum ia bermula.
“Asas kerja ini perlahan, tidak menentu, dan sering kali tidak dihargai namun ia amat penting.”