
Mohd Mizan Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata ancaman itu termasuk aspek keselamatan seperti perang siber selain isu keterjaminan yang memerlukan kekuatan serta strategi tertentu untuk diatasi.
Menurut pensyarah hal ehwal antarabangsa itu, Asean tidak lagi boleh berdepan ancaman terbabit secara konvensional tetapi perlu beralih kepada transformasi digital selain mempunyai kemampanan ekonomi luar biasa.

“Perlu memastikan segalanya dikawal penuh supaya negara kuasa besar mengakui kepentingan Asean dengan kekuatan ekonomi ada selain ada strategi ‘tanpa perang’ untuk selesai konflik secara berhemah.
“Pasti Malaysia mahupun Asean akan dipandang tinggi dan dirujuk dalam apa jua isu,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Deklarasi KL bakal diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 berlangsung Isnin dan Selasa depan bakal menjadi rujukan utama hala tuju masa depan rantau ini.
Pakar undang-undang antarabangsa Yazid Zul Kepli pula berkata Deklarasi KL perlu mencerminkan iltizam negara Asean untuk membina kesepakatan ‘lebih bermakna’ terutama untuk menangani konflik serantau.
Menurut ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, perpaduan menjadi asas utama kepada ketahanan rantau ini seharusnya diterjemah dalam bentuk tindakan konkrit menghadapi tekanan kuasa besar.
“Deklarasi KL perlu mencerminkan iltizam politik tinggi untuk menjadikan Asean lebih bersatu, berani dan progresif dalam menghadapi cabaran semasa dan masa depan.
“Ini dapat perkukuh peranan Asean sebagai kuasa tengah relevan di arena antarabangsa, malah menjamin kepentingan komunitinya terus dipelihara daripada hegemoni kuasa luar bersifat memecahbelahkan,” katanya.
Ini termasuk menjadikan Asean sebagai zon damai bebas daripada pengaruh ketenteraan dan ekonomi luar, menurut beliau.

Bagi mencapai sasaran iu, Yazid berkata deklarasi berkenaan juga perlu menetapkan usaha melindungi kepentingan ekonomi negara Asean daripada manipulasi dan pergolakan pasaran global akibat pertikaian kuasa besar.
“Misalnya pembentukan blok ekonomi yang lebih kukuh melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangsang integrasi ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar.
“Pendekatan ini bukan hanya melindungi pasaran dalaman Asean malah juga meningkatkan daya saing globalnya secara kolektif,” katanya.