
Katanya, Mahkamah Tinggi bulan lalu membenarkan penangguhan prosiding dalam permohonan Najib untuk menguatkuasakan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Ini sementara menunggu pendengaran rayuan kerajaan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah adendum itu.
“AGC tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut (memulakan prosiding menghina mahkamah) diketepikan atas alasan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, peguam Najib memaklumkan mereka memfailkan permohonan pada Rabu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Terrirudin atas dakwaan gagal mendedahkan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara bawah tahanan rumah.
AGC juga mempertahankan tindakan Terrirudin, dengan menyatakan bekas peguam negara menjalankan tugasnya mengikut undang-undang sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Dakwaan bahawa beliau cuba mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali. Tindakan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ketika proses rayuan masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” katanya.