Pelan transformasi ekonomi Bumiputera belum beri impak, kata Zahid

Pelan transformasi ekonomi Bumiputera belum beri impak, kata Zahid

Timbalan perdana menggesa semua pihak melakukan anjakan serius dalam menterjemahkan hasrat besar KEB.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi merasmikan sesi pemukiman setahun selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pelaksanaan dasar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 belum memberi impak kepada rakyat walaupun selepas setahun dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Katanya, ia termasuk membabitkan agenda terkandung dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi memperkukuh golongan itu dalam ekonomi negara.

“Namun, sejujurnya saya ingin bertanya – adakah kita benar-benar telah menggarap agenda itu? Adakah impak dijanjikan sudah dirasai oleh masyarakat? Jika tanya saya belum lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sesi pemukiman setahun selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Mengulas lanjut, Zahid berkata PuTERA35 yang dihasilkan melalui KEB 2024 tidak boleh hanya menjadi hiasan dalam fail Kabinet kerana ia komitmen nasional untuk memperkukuh penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi Bumiputera.

“Tetapi jika komitmen ini tidak diterjemahkan kepada tindakan, maka kita hanya membazir masa dan membazir kepercayaan rakyat,” katanya.

PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 adalah kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan menjalankan pemantauan menyeluruh PuTERA35 menerusi laporan berkala dan sistematik bagi memastikan pelaksanaannya membuahkan hasil.

Dalam ucapannya, Zahid turut menggesa semua pihak melakukan anjakan serius dalam menterjemahkan hasrat besar KEB.

“Kita ada 132 ikhtiar bawah PuTERA35. Saya mahu ia diberikan keutamaan penuh dan mesti ada keberhasilan. Kita perlukan garis masa yang jelas. Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam retorik tanpa kesudahan.

“Apabila saya melihat status pencapaian semasa saya dapati masih banyak yang belum digerakkan. Ini adalah dasar kerajaan jadi ia perlu menjadi kerangka utama bagi semua kementerian bukan hanya Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Semua kementerian, tanpa pengecualian mesti memain peranan aktif seperti yang diaspirasikan,” katanya.

Sementara itu, Zahid menyeru semua pihak terlibat dalam pelaksanaan agenda Bumiputera berani melakukan anjakan besar demi memastikan hasil pemukiman setahun selepas KEB 2024 tidak tinggal sebagai dokumen semata-mata.

Beliau mahu peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta entiti korporat yang lebih strategik sebagai rakan pelaksana utama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.