
“Ini adalah rompakan. Anda tidak boleh mengambil harta orang begitu sahaja,” kata pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri dua kali itu, selepas melancarkan buku ‘100 Pesan Tun: Membina Keluarga Dan Bangsa’.
Katanya, Daim yang menjadi orang kepercayaannya, tidak disabitkan dengan kesalahan mencuri.
“Kalau anda boleh buktikan beliau bersalah kerana mencuri, bolehlah anda ambil apa yang beliau ada,”
Semalam, SPRM berkata agensi itu membuka lapan kertas siasatan baharu mengenai aset ‘bernilai tinggi’.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata siasatan dibuka susulan maklumat baharu diterima dari negara luar.
Katanya, dapatan itu berpunca daripada penyiasatan dilakukan pada 2023, sambil menambah kegagalan mengisytiharkan harta menjadi kesalahan di bawah undang-undang.
Azam juga mengesahkan walaupun Daim meninggal dunia tahun lalu, SPRM akan bertindak lanjut dengan mengesyorkan tindakan pelucutan hak aset diragui, dengan keputusan akhir akan ditentukan timbalan pendakwa raya.
Mahathir berkata, Daim yang meninggal dunia November 2024, menyumbang kepada negara dengan melabur semula keuntungan diraih.
Katanya, ia merupakan tindakan yang dijangka daripada hartawan itu.
“Itulah yang kita mahu. Anda boleh berniaga di mana sahaja, tetapi bawa pulang wang anda di sini (ke Malaysia).
“Dan beliau bawa pulang wang tersebut dan mampu membina bangunan pencakar langit dengan wang berkenaan.”
Mahathir juga mendakwa kerajaan ‘mencuri’ wang itu sekarang, memandangkan Daim tidak mampu mempertahankan dirinya.