
Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, berkata penyertaan PAS dalam PRN kali ini lebih berstrategik dan tersusun serta mempertaruhkan tokoh yang menepati aspirasi rakyat.
“PAS akan menghantar tokoh-tokoh boleh menang sebagai calon sebab itu kami yakin dan tidak mustahil PAS boleh mencapai kemenangan di kerusi tertentu.
“Kita semua faham bahawa politik itu unik dan serba kemungkinan. Rakyat juga sudah bijak dimana semua maklumat dihujung jari terutama dalam kalangan anak muda,” katanya kepada FMT.
Sahar berkata, pandangan bahawa PAS mampu menjadi penentu kemenangan berpihak kepada siapa juga membuktikan bahawa penyertaan parti itu tidak boleh dipandang sebelah mata.
Katanya, kemenangan pertama PAS di Sabah juga sangat penting kerana ia mampu mengubah landskap politik di negeri itu.
“Kemenangan PAS juga boleh mengubah persepsi kepada pelbagai pihak terhadap PAS termasuk kononnya kita tidak mesra kepada bukan Islam,” katanya.
Semalam, seorang penganalisis politik menjangkakan PAS sukar menang kerusi pertamanya di Sabah dan hanya berpotensi menjadi ‘pengacau daun’.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui perkembangan PAS yang dilihat mula menerima sokongan terutama di kalangan komuniti Islam di Sabah tetapi ia masih belum mencukupi.
“Mereka (PAS) akan menjadi pesaing. Namun penglibatan mereka dalam PRN Sabah mampu menentukan kemenangan memihak kepada siapa kerana memecahkan undi,” kata Lee.
PAS sebelum ini mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN, dengan kemungkinan menggunakan logo parti gabungan bersama Perikatan Nasional.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, antara enam Adun dilantik kerajaan negeri selepas PRN 2020. Untuk rekod, PAS tidak bertanding pada PRN 2020.