JPN siasat kes kad pengenalan lebih 10 tahun, dedah EAIC

JPN siasat kes kad pengenalan lebih 10 tahun, dedah EAIC

EAIC mendapati wujud kelemahan pegawai penyiasat dan individu terbabit disyorkan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN untuk tindakan lanjut.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan merumuskan SOP JPN perlu ditambah baik, khasnya menetapkan tempoh wajar ambil tindakan lanjut atas kes mustahil disiasat atau diselesaikan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan siasatan permohonan kad pengenalan dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengalami kelewatan serius sehingga mengambil lebih 10 tahun diselesaikan.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan siasatan terhadap aduan kes mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 mendapati wujud kelemahan pegawai penyiasat.

“Siasatan mendapati wujud isu kelewatan dan ketidakaturan dalam pengendalian kertas siasatan oleh pegawai penyiasat JPN semasa menjalankan siasatan melibatkan kes itu sehingga menyebabkan kelewatan tindakan diambil.”

Menurutnya, kehilangan sijil lahir asal yang diimpaun JPN memberi kesan terhadap tempoh siasatan diselesaikan.

Justeru, EAIC merumuskan terdapat keperluan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) JPN, khususnya dalam menetapkan tempoh wajar diambil tindakan lanjut berhubung kes yang mustahil disiasat atau diselesaikan.

EAIC juga mendapati pelaksanaan Peraturan 25 Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) bagi pihak gagal hadir memberi keterangan semasa proses siasatan perlu dikaji semula secara terperinci.

“Cadangan penambahbaikan SOP dan pelaksanaan Peraturan 25 hendaklah dilaksanakan bagi memastikan JPN dapat bertindak lebih proaktif dan berkesan dalam menjalankan siasatan.”

Katanya, mesyuarat suruhanjaya pada 8 April lalu memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada ketua pengarah JPN bersama syor hukuman terhadap pegawai terbabit.

“EAIC memutuskan syor hukuman bawah Peraturan 38 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai JPN terlibat dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN untuk tindakan lanjut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.