
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Azrul Rizad Othman, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan turut mengarahkan penjara enam bulan, jika gagal bayar denda.
Azrul Rizad sebagai pemilik Mediaworks Design didakwa diberikan wang tunai RM3,000 oleh seorang kontraktor projek di sebuah kafe di Jalan Kota Fesyen Ayer Keroh, Melaka Tengah pada 18 Sept 2024.
Suapan itu sebagai dorongan supaya perniagaan tertuduh yang dilantik menjadi perunding kerja membina sebuah rumah teres satu tingkat di Jalan Sungai Air Hitam, Tanjung Minyak, bernilai RM1.9 juta mengesyorkan sebuah syarikat kontraktor bagi melaksanakan kerja berkenaan.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 25(2) akta sama kerana gagal melaporkan pemberian suapan kepada pegawai SPRM atau polis.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon denda maksimum sebagai pengajaran dan bagi menjaga kepentingan awam.
Tetapi, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman tanpa pemenjaraan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga, termasuk isteri tidak bekerja.
Mahkamah turut mengarahkan wang tunai RM3,000 yang disita dikembalikan kepada SPRM, manakala pertuduhan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 diambil pertimbangan selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.