Lelaki ditahan, polis rampas dadah dianggar RM1.6 juta

Lelaki ditahan, polis rampas dadah dianggar RM1.6 juta

Suspek yang ditahan Rabu lepas disyaki aktif mengedar dadah sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani
Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani (tiga dari kiri) menunjukkan dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan polis sebelum dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Mulia, Batu Pahat, Rabu lepas.

Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, suspek ditahan pada 7.45 malam susulan maklumat dan risikan serta disyaki aktif melakukan kegiatan mengedar dadah sejak sebulan lepas.

Katanya, siasatan lanjut menemukan serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 9.4kg dianggar bernilai RM1.58 juta dan dadah disyaki ketamin seberat 460 gram dianggar berjumlah RM23,000.

“Dadah itu jika dipasarkan mampu digunakan kira-kira 47,000 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Tambahnya, suspek juga melakukan kegiatan itu secara bersendirian dan menjadikan rumah terbabit sebagai stor dan lokasi bagi pembungkusan semula dadah.

“Polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM45,000.

“Suspek didapati negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau. Dia direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.