
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap defendan, Wan Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin pada pendengaran permohonan ex-parte (sebelah pihak).
“Pendengaran inter-parte bagi perintah komital ditetapkan pada 30 Jun dan kehadiran defendan adalah diwajibkan,” katanya.
Pada 9 Mei, Gan menetapkan tarikh sama (30 Jun) untuk pendengaran permohonan komital kedua selepas membenarkan permohonan Razarudin untuk memulakan prosiding komital itu terhadap Wan Azri kerana melanggar syarat permohonan maaf diperintahkan mahkamah pada 30 April.
Berdasarkan notis permohonan komital ketiga difailkan di Mahkamah Tinggi semalam, Razarudin memohon perintah komital terhadap Wan Azri kerana menghina mahkamah selepas defendan menerbitkan satu video pada 8.30 malam, 1 Mei di TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri).
Plaintif mendakwa penerbitan video itu menunjukkan defendan sebenarnya langsung tidak berasa kesal melanggar injunksi mahkamah, lapor Bernama.
Plaintif berkata, ia juga memberi gambaran seolah-olah defendan telah berjaya memperdayakan mahkamah untuk menerima permintaan maaf olehnya pada 30 April dan memberi gambaran palsu kononnya plaintif telah memohon dan berniat jahat untuk memasukkan defendan ke Penjara Sungai Buloh.
“Kenyataan yang dikeluarkan defendan dalam video tersebut adalah bertentangan dengan kenyataan bertulis dan lisan permohonan maaf yang telah dipersetujui dan dibaca di hadapan mahkamah pada 30 April seperti dalam perintah komital tersebut,” kata Razarudin dalam permohonan itu.
Pada 10 Feb lalu, mahkamah memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital pertama terhadap Wan Azri kerana didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta Telegram.
Namun, pada 30 April, Wan Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.
Injunksi berkenaan melarang Wan Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi.
Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Azri menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20, dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.