Kastam sita RM11.5 juta heroin disorok dalam pembesar suara

Kastam sita RM11.5 juta heroin disorok dalam pembesar suara

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha berkata ini kali pertama sindiket dikesan guna khidmat mover seludup dadah ke luar negara.

Raizam Setapa
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha (kiri) menunjukkan pembesar suara diubah suai untuk menyorok heroin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Taktik sindiket menghantar dadah disorok dalam alat pembesar suara menggunakan perkhidmatan syarikat pindah barang (mover) terbongkar susulan rampasan 122.85kg heroin dianggarkan bernilai RM11.5 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam Cawangan Narkotik menyita 90 kotak pelbagai saiz di sebuah gudang syarikat mover di Batu Caves, Selangor pada 10 April lalu.

“Pemeriksaan menjumpai 344 ketulan mampat serbuk putih disyaki heroin dengan berat kasar 122.85kg dianggarkan bernilai RM11.5 juta,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Nilai.

Beliau berkata, dadah itu ditemui dalam empat kotak berisi pembesar suara diubah suai, manakala baki 85 kotak yang mengandungi barangan kelengkapan rumah tiada dadah.

Menurutnya, pembesar suara itu diubah suai dengan hanya struktur luar dikekalkan, manakala bahan elektronik di bahagian dalam dibuang untuk diisi heroin yang akan dihantar ke Australia.

Katanya, ini kali pertama pihaknya mengesan sindiket dadah antarabangsa menggunakan khidmat mover untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.