
Rekod JKM menunjukkan 1,618 kes pengabaian kanak-kanak pada 2020 meningkat kepada 4,126 kes tahun lalu.
Seksyen 17 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan pengabaian kanak-kanak merujuk kepada tidak menyediakan keperluan asas (makan minum, tempat tinggal, pakaian, kasih sayang dan pendidikan) serta boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, termasuk mengancam nyawa.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 31,247 kes perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak termasuk pengabaian, dengan lebih 64% mangsa terdiri daripada perempuan, manakala 9,365 kes penderaan seksual direkodkan dengan tertinggi pada 2023 sebanyak 2,523 kes.
Che Murad berkata, antara faktor peningkatan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak disebabkan tiada kesedaran, takut melaporkan kes, stigma negatif dan kurang maklumat.
“Ini berlaku kerana masalah sosial, termasuk ekonomi yang menghimpit masyarakat kita.
“Apabila ibu bapa tertekan dengan masalah kewangan, rasa marah, tidak puas hati atau tekanan itu ‘disalurkan’ kepada anak-anak. Apa akan terjadi kepada anak-anak ini?
“Ada ibu bapa mengambil barang terlarang seperti dadah. Mangsa terdekat mereka pasti anak-anak yang tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, statistik polis menunjukkan lebih 95% kanak-kanak mangsa dera, termasuk penderaan seksual, mempunyai hubungan rapat dengan pelaku, seperti ibu bapa kandung atau ibu bapa tiri.
Menurutnya, penggunaan media sosial tanpa batasan dengan banyak bahan pornografi mudah diakses, mendedahkan kanak-kanak kepada ancaman pedofilia.
“Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi gambar kanak-kanak dalam pelbagai bentuk.
“Semakin teknologi berkembang, semakin rumit usaha mengatasi masalah yang timbul. Hal ini sangat membimbangkan.”
Bagi menangani jenayah seksual bawah umur, JKM mewujudkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: KASIH Kanak-kanak di sekolah seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) .
Sejak dimulakan tahun lalu di 337 sekolah, ia memanfaatkan 128,148 kanak-kanak dan 189,479 peserta. Tahun ini, program itu disasarkan ke 300 sekolah lagi dan 30 pusat aktiviti kanak-kanak.
Beliau mengingatkan orang ramai melaporkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak ke “Talian Kasih 15999” yang beroperasi 24 jam setiap hari.
“Selalunya, kes membabitkan kanak-kanak dilakukan individu terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik menyebabkan mereka tidak tahu (saluran sesuai) untuk meminta bantuan.
“Jika kanak-kanak mengadu kepada guru atau rakan, gunakan talian ini untuk mendedahkan salah laku. Pihak polis juga bersama kita. Mereka akan menyiasat setiap aduan diterima, tiada kes akan terpinggir.”