76 rumah rosak terkena batu kuari di Sungai Buloh

76 rumah rosak terkena batu kuari di Sungai Buloh

Syarikat pengendali kuari dalam pertemuan bersama penduduk setuju menanggung kos pembaikan semua rumah terjejas.

kuari sungai buloh
Rumah penduduk rosak terkena batu kuari dalam kejadian Selasa lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 76 rumah di Taman Matang Jaya, Sungai Buloh, rosak akibat terkena serpihan batu kerikil terpelanting dari sebuah kuari berhampiran ketika kerja letupan, Selasa lalu.

Pengerusi penduduk taman Saidfudddin Mohd Adam, 49, berkata bagaimanapun syarikat pengendali kuari itu dalam pertemuan bersama mereka kemudian bersetuju menanggung kos pembaikan semua rumah terjejas.

Beliau berkata, letupan pada 3.15 petang itu agak luar biasa, sehingga menyebabkan serpihan batu berterbangan sejauh kira-kira 1km sebelum menghentam beberapa rumah penduduk.

“Sejak tinggal di sini pada 2006, memang biasa mendengar bunyi letupan dari kuari, tapi kali ini penduduk beritahu letupan sangat kuat sehingga batu termasuk sebesar topi keledar berterbangan dan menyebabkan bumbung rumah pecah.

“Kejadian juga menyebabkan penduduk cemas dan risau,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan berkenaan.

Saidfudddin berkata, dalam kejadian itu 13 rumah mengalami kerosakan serius pada bumbung manakala 63 lagi terjejas seperti dinding retak, siling dan lantai rosak, paip pecah selain kerosakan peralatan elektrik.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 20 tahun turut mengalami cedera ringan apabila terkena serpihan besi jeriji tingkap yang terpelanting akibat hentaman batu.

Taman perumahan itu mempunyai 240 rumah teres setingkat dan dihuni kira-kira 1,000 penduduk.

Seorang penduduk Salwa Mat Radzi, 55, berkata beliau dan suaminya berada di dapur ketika mendengar letupan, sebelum bumbung rumah dihentam batu besar yang kemudian jatuh ke ruang tamu.

“Saya dengar siren amaran sebelum letupan, tapi tak sangka impak letupan seteruk ini, seperti rumah dihentam meteor. Saya risau hingga sekarang kerana kami mungkin boleh cedera jika berada di ruang tamu waktu itu,” katanya.

Sementara itu Maizatul Ikmal Ramli, 29, berkata kejadian berlaku semasa beliau sekeluarga tiada di rumah, dan sebaik pulang beliau mendapati bumbung rumahnya berlubang, dengan serpihan batu berselerakan di lantai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.