Letupan Putra Heights: Dian kembali ke sekolah dengan semangat baharu

Letupan Putra Heights: Dian kembali ke sekolah dengan semangat baharu

Rumah musnah dan rutin berubah namun Dian Amina Amirizwan kembali ceria apabila keluarga pindah ke kediaman asal dibina semula di Kampung Kuala Sungai Baru.

Keadaan rumah keluarga Dian Amina Amirizwan di Kampung Kuala Sungai Baharu yang musnah dalam letupan paip gas Putra Heights dan gambar terkini kediaman baharu penduduk dibina oleh kerajaan.
SUBANG JAYA:
Dian Amina Amirizwan masih ingat peristiwa letupan paip gas di Putra Heights, tahun lalu yang meranapkan rumah keluarganya, menyebabkan mereka terpaksa memulakan semula kehidupan.

Bukan sahaja hilang tempat berteduh, proses pembelajaran murid berusia 11 tahun itu juga sedikit terjejas apabila sebahagian kelengkapan persekolahan rosak selain melalui perubahan rutin.

Jika sebelum kejadian itu, perjalanan Diana dari Kampung Kuala Sungai Baru ke sekolah mengambil masa 10 minit dengan menaiki kenderaan tetapi apabila berpindah sementara di Putra Avenue, tempohnya bertambah sedikit.

Namun paling dirindui Dian Amira adalah belajar di biliknya sendiri atau menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu rumah bersama adik beradiknya yang lain.

Family atok nenek dan cucu
Keluarga Dian Amina gembira dapat kembali ke tapak kediaman asal mereka selepas menyewa hampir lapan bulan di Putra Avenue.

Selepas lebih lapan bulan melalui rutin itu, kehidupan keluarga berkenaan bakal berubah apabila mereka kini sudah berpindah ke rumah baharu dibina di tapak asal kediaman mereka dengan bantuan kerajaan.

“Saya rasa lebih seronok dan bersemangat sebab dapat balik duduk dekat kawasan rumah lama.

“Dari sini lebih dekat nak pergi sekolah dan kawan-kawan pun ramai,” kata murid tahun lima itu kepada FMT menjelang pembukaan sesi persekolahan, Isnin depan.

Perasaan teruja turut dikongsi adiknya, Ahmad Uwais, 7, yang bakal memulakan alam persekolahan sebagai murid tahun satu.

“Saya seronok nak pergi sekolah,” katanya.

Kebakaran dan letupan saluran paip gas pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.

Putrajaya mengumumkan program pembaikan dan pembinaan semula, dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memperuntukkan RM46 juta untuk kerja terbabit selain pemulihan infrastruktur di Putra Heights.

Kerajaan Selangor pula menyalurkan lebih RM10 juta untuk bantuan kewangan, sewa sementara, pendidikan dan pembaikan infrastruktur bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.