Tuduhan dihadapi Ramasamy berbaur balas dendam politik, kata tokoh DAP

Tuduhan dihadapi Ramasamy berbaur balas dendam politik, kata tokoh DAP

Langkah tuduh pengkritik lantang kerajaan di mahkamah mampu jejas kepercayaan orang ramai terhadap integriti institusi kerajaan, kata bekas Ahli Parlimen.

Charles Santiago berkata, aturan masa P Ramasamy dikenakan tuduhan di mahkamah mencurigakan kerana dakwaan berkait dana PHEB bukan perkara baharu.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menzahirkan kebimbangan berhubung 17 tuduhan pecah amanah yang dihadapi bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy, yang menurutnya disyaki berbaur balas dendam politik.

Santiago berkata, aturan masa tuduhan itu dikenakan terhadap Ramasamy, yang aktif mengkritik kerajaan sejak meninggalkan DAP pada Ogos 2023, mencurigakan apabila dakwaan berkait Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) itu bukanlah perkara baharu.

Tokoh DAP itu memberi amaran, langkah sedemikian akan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap integriti institusi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Keterdesakan secara tiba-tiba untuk mengenakan tuduhan kebetulan selepas Ramasamy lantang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu seperti nepotisme, tadbir urus, dan keruntuhan institusi, menimbulkan syak wasangka yang wajar tentang balas dendam politik.

“Ini bukan tentang Ramasamy sahaja, tetapi integriti institusi awam yang mesti beroperasi bebas tanpa pengaruh politik,” katanya dalam kenyataan.

“Apabila jentera negeri dilihat dijadikan senjata untuk membungkam pertentangan pendapat, terutamanya terhadap pemimpin veteran yang sudah berdekad-dekad berkhidmat sebagai penjawat awam, ia menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan agenda reformasi kerajaan.”

Santiago berkata, kerajaan perpaduan tidak boleh berpatah balik kepada ‘taktik penindasan’ yang dimainkan oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya, Putrajaya mesti menghargai suara-suara bebas yang mempersoalkan, mengkritik serta mempertanggungjawabkannya, dan tidak mengugut pihak-pihak ini dengan undang-undang.

“Pada masa polarisasi kaum, jurang ekonomi, dan kekecewaan terhadap proses demokrasi semakin nyata dan berkembang, perkara terakhir yang Malaysia perlukan adalah mengalihkan perhatiannya kepada perkara lain yang sedikit sebanyak berbaur dendam politik,” katanya.

Awal hari ini, Ramasamy mengaku tidak bersalah atas 17 tuduhan beliau menggunakan RM859,131.29 dana PHEB antara Mei 2019 hingga Februari 2022 tanpa kelulusan rasmi lembaga itu.

Tiga belas daripada tuduhan terhadap Ramasamy, pengerusi PHEB dari 2010 hingga 2023, dikaitkan dengan perolehan pedati Thaipusam bersalut emas bernilai RM779,131.29 pada 2019.

Dua tuduhan dikaitkan dengan bantuan perubatan berjumlah RM65,000 kepada individu, manakala dua lagi berkait tajaan pendidikan RM15,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.