
Beliau berkata, terdapat pengundi di luar negara, termasuk pelajar, yang layak mengundi namun tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka disebabkan proses pengundian sukar, khasnya yang berada di Rusia.
Ketika ini, katanya, ada pelbagai kaedah dan sistem canggih perlu dimanfaatkan untuk memantap serta memudahkan proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara.
“Saya maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah suruhanjaya bebas, tetapi kenapa SPR tidak dapat pastikan setiap rakyat, di mana sahaja mereka berada dapat menunaikan hak mengundi.
“Kita telah beri pandangan dan cadangan kepada pihak SPR…kita akan pastikan sebelum PRU akan datang sudah ada proses ini,” katanya menjawab soalan pada sesi bertemu rakyat Malaysia di Rusia sempena lawatan rasminya ke negara ini bermula semalam.
Anwar berkata demikian sebagai maklum balas terhadap perkongsian pelajar Malaysia di sini mengenai kesukaran mengundi dan mengakses laman sesawang kerajaan berkait proses pengundian.
Beliau tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari dan diberikan kawalan kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 di sini pada 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).
Lawatan rasmi sehingga 16 Mei ini atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.
Anwar yang juga menteri kewangan mengetuai delegasi Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.