
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata imej Islam konservatif mungkin menjadi pertimbangan pimpinan GRS, yang tidak melihat kerjasama dengan PN sebagai keperluan dan keutamaan politik.
“Hal ini boleh menjadi faktor menghalang kerjasama terbabit. GRS mungkin lebih memilih bersama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan kestabilan politik, hubungan dengan persekutuan dan memanfaatkan sumber sedia ada.
“PN mungkin perlu mencari strategi lain untuk meningkatkan pengaruh di Sabah,” katanya kepada FMT, mengulas cadangan peribadi Annuar Musa, timbalan pengarah operasi pilihan raya PN, supaya gabungan itu bertanding bawah GRS pada PRN.
Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, sokongan kepada GRS juga sebagai isyarat menyokong Sabah mempunyai ‘payung’ sendiri.
Beliau turut berpandangan pilihan lain adalah PN beri laluan kepada GRS.
“Imej konservatif yang dibawa PN mungkin kurang serasi dengan demografi dan sentimen politik di Sabah,” jawab Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Syahruddin Awang Ahmad.
Beliau menambah menjalin kerjasama dengan PN berisiko melemahkan naratif ‘Sabah Didahulukan’ dibawa GRS, maka usaha sedemikian perlu diurus secara berhati-hati agar bagi mengelak kehilangan sokongan.
Syahruddin bagaimanapun menyifatkan cadangan Annuar itu sebagai langkah pragmatik untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru, yang boleh menyebabkan undi berpecah lalu memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Dalam pada itu, kerjasama GRS-PN jika direalisasikan mampu mengukuhkan kedudukan PN di Sabah, sekaligus mengancam kedudukan blok pemerintah persekutuan pada PRU kelak.
“Siapa tahu templat gabungan PN dan GRS boleh menjadi rujukan kepada strategi dan taktik untuk menguasai mana-mana negeri dikuasai parti gabungan di bawah kerajaan perpaduan,” katanya.
Lee Kuok Tiung juga dari UMS berpandangan kenyataan terbuka Annuar itu mengambil kesempatan ke atas pengumuman mengenai kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional.
Beliau percaya kerjasama antara GRS dan PN atau gabungan dari persekutuan lain tidak akan berlaku memandangkan agenda masing-masing berbeza.
“Saya percaya tidak akan berlaku kerjasama parti politik di peringat persekutuan dan negeri,” katanya.
Pada Jumaat, GRS menyatakan kesediaan untuk bertanding sendirian pada PRN, selepas PH dan BN mengumumkan kerjasama. Pengerusi GRS Hajiji Noor berpendirian parti tempatan harus menjadi tonggak dan memimpin kerajaan negeri.
Kelmarin, Pengerusi Anwar Ibrahim berkata beliau mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama PH dan BN.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata partinya akan bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi DUN, pada PRN Sabah.
Beliau berkata PN sedang meneroka ruang kerjasama politik dengan parti tempatan, termasuk GRS dan Warisan, bagi menentang PH-BN.