
Bercakap kepada FMT, Joniston yakin rakyat kini lebih bijak menilai prestasi baik kerajaan GRS berbanding mempercayai retorik politik dibawa Ahli Parlimen Semporna itu.
Menurutnya, Warisan cuba memberi persepsi kegagalan kerajaan negeri namun pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor telah berjaya meningkatkan hasil kepada RM6.9 bilion dan rizab melebihi RM8 bilion berbanding RM2.5 bilion pada 2020.
“Pelbagai manfaat bernilai ratusan juta ringgit juga telah disalurkan kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Shafie dan Warisan patut cermin diri sendiri. Jangan pandang rendah kepada rakyat kerana mereka tahu menilai.
“Hakikatnya kerajaan GRS jauh lebih baik berbanding pentadbiran Warisan yang diterajui Shafie,” kata Adun Kiulu itu.
Shafie dilaporkan Malaysiakini mendakwa musuh politik mereka membelanjakan jutaan ringgit untuk menggerakkan kempen dalam talian bagi menjejaskan imej partinya.
Dakwanya, lebih RM8 juta diperuntuk untuk kempen media sosial yang menyasarkan Warisan dengan dana terbabit disalurkan melalui kerajaan negeri.
Kebelakangan ini, Shafie yang menjadi ketua menteri dari Mei 2018 hingga September 2020 sering dikritik dalam beberapa isu berlaku ketika pentadbirannya.
Antaranya tindakan pentadbirannya yang didakwa terburu-buru menamatkan kontrak syarikat konsesi utiliti pada 2019 yang menyebabkan masalah air membelenggu negeri itu sehingga kini.
Keputusannya itu dipersoalkan kerana tidak disertakan pelan gantian jelas sehingga menyebabkan kerajaan negeri kini terpaksa menanggung beban pampasan sebanyak RM315 juta.