
Namun Mayang Sari, 31, tiada pilihan. Ibu tunggal dari Medan, Indonesia ini sudah dua tahun meninggalkan anak perempuan berusia sembilan tahun untuk mencari rezeki di Malaysia.
Dianggarkan sekitar 585,000 pekerja berdaftar dari Indonesia di Malaysia, menurut laporan yang memetik Duta Besar Hermono pada 19 Mac lalu, dengan tumpuan dalam sektor pembinaan, perladangan, pertanian, dan pembantu domestik.
Mayang membulatkan tekad untuk berkelana demi masa depan anak tunggalnya, sejak berpisah dengan suami.
“Dari kecil bekas suami tiada tanggungjawab terhadap anaknya, jadi semua biaya saya yang tanggung,” kata petugas pembersihan ini kepada FMT.
“Anak itu semakin besar dia perlu sekolah. Jadi saya putuskan untuk berangkat ke sini, biar anak saya boleh sekolah dapat kehidupan selayaknya.”
Namun wanita seperti Mayang terpaksa mengorbankan sesuatu yang berharga — tercicir daripada sebahagian episod hidup anak mereka.
“Setiap malam saya akan telefon dengan anak, dia akan selalu tanya bila bonda akan pulang. Saya selalu cakap bila ada rezeki lebih saya akan pulang,” luah Mayang.

Sunyi di bawah pencakar langit
Seorang lagi petugas keberihan, Susi, dan suaminya merantau ke Malaysia kerana peluang kerja dan pendapatan di kampung mereka di Jawa Timur terlalu terhad untuk menyara keluarga.
Semua ini untuk pendidikan dua anak — yang sulung berusia 13 tahun manakala si bongsu lima tahun ketika mereka melangkah keluar. “Itulah tekad kami keluar untuk bekerja,” kata Susi, 39.
Setiap hari sepanjang hampir empat tahun bekerja di Malaysia hati Susi dicengkam rindu. “Kalau bersendirian rasa sunyi pun datang.”
Mengenang saat berpisah, Susi berkata dia dan suami menunggu anak bongsu tidur sebelum berangkat ke Malaysia, kerana tidak sanggup melihat tangisannya.
Di tengah perjalanan, anak sulungnya yang kini berusia 17 tahun menangis. “Dia cakap, ‘Mama, kenapa mama pergi lagi?'” kata Susi, yang tekad mahu menyaksikan anaknya selesai belajar.
Kisah Mayang dan Susi antara banyak lagi cerita pengorbanan ibu yang menjadi tulang belakang keluarga.
Hari Ibu bagi mereka satu lagi hari di mana mereka terpaksa menelan pahit pengorbanan demi masa depan anak-anak yang jauh di mata.