
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong berkata Razarudin telah membuktikan kes prima facie terhadap Wan Azri selepas mahkamah meneliti kenyataan maaf yang disiarkan oleh Wan Azri pada 1 Mei.
Beliau mengarahkan penulis blog itu untuk memfailkan afidavit selewat-lewatnya pada 23 Mei bagi menyakinkan mahkamah mengapa dia tidak harus dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Razarudin dibenarkan memfailkan jawapan kepada afidavit Wan Azri selewat-lewatnya pada 6 Jun.
Gan menetapkan 30 Jun untuk mendengar permohonan tersebut dan mengarahkan Wan Azri hadir ke mahkamah.
Terdahulu, beliau membenarkan peguam Wan Azri, Rafique Rashid Ali, untuk berhujah walaupun perkara itu dijadualkan didengar secara sebelah pihak (ex parte). Peguam Razarudin, S Raam Kumar, tidak membantah.
Rafique berkata anak guamnya telah menyiarkan permohonan maaf di empat platform media sosial dan mematuhi perintah lain yang diarahkan oleh mahkamah pada 30 April.
Bagaimanapun, Raam Kumar berkata permohonan maaf itu tidak ikhlas kerana Wan Azri memuat naik video berdurasi lima minit pada 1 Mei dengan menyatakan bahawa dia memohon maaf kepada mahkamah, bukan kepada Razarudin.
“Dia tidak tujukan permohonan maaf itu kepada anak guam saya, tetapi kepada mahkamah semata-mata untuk mengelakkan daripada dipenjara,” katanya.
Selain itu, katanya, permohonan maaf itu dimuat naik di empat platform media sosial pada 30 April dengan latar belakang lagu ‘Maafkan Kami’ oleh Allahyarham P Ramlee.
“Permohonan maaf itu sepatutnya dibuat dengan ikhlas, tapi dalam kes ini ia kelihatan seperti satu lawak jenaka,” katanya.
Razarudin, dalam permohonannya yang difailkan pada Isnin, memohon agar Wan Azri dikenakan denda dan dipenjarakan.
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Azri sebagai defendan atas dakwaan memfitnah, yang turut membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada 30 April, Wan Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat sejurus sebelum prosiding di hadapan Gan berhubung kenyataan fitnah dan menghina mahkamah yang dibuat awal tahun ini.