
Agensi antirasuah itu berkata, pihaknya mula menyiasat kedua-dua individu terbabit pada Mei tahun lalu berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Katanya, Ling dan Hah dipanggil memberikan keterangan namun wanita itu ingkar dan gagal memberikan kerjasama, menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada 2 Dis 2024.
“Pada 8 Jan 2025, satu tindakan operasi bersama pihak (berkuasa) Singapura dilancarkan dan Ling ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
SPRM berkata, susulan itu Ling direman tiga hari dari 9 Jan hingga 11 Jan lalu, dan dilepaskan dengan ikat jamin selepas tempoh reman tamat.
Katanya, pada 9 April iaitu hari kejadian, SPRM memanggil Ling ke ibu pejabatnya bagi meneruskan rakaman percakapan susulan maklumat baharu yang juga membolehkan dokumen perjalanan wanita itu ditahan.
Bagaimanapun, Ling gagal hadir di ibu pejabat SPRM pada hari berkenaan, sebelum peguamnya membuat laporan polis mengenai kehilangannya hari sama.
Langkah perlu diambil, dakwaan salah laku tak berasas
SPRM berkata, pihaknya bertindak mengikut kerangka undang-undang yang betul, termasuk mendapatkan perintah mahkamah diperlukan serta mematuhi peraturan.
“Dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas,” katanya.
Katanya, semakan kehakiman difailkan pihak Ling sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan sedang dijalankan.
Ling mencabar tindakan agensi antirasuah itu menggunakan Akta SPRM dan Amla untuk ‘memberi tekanan kepadanya bagi menyelesaikan pertikaian persendirian’
Beliau turut mendakwa ditahan dan direman tanpa asas undang-undang serta melanggar proses wajar.
SPRM menegaskan, pihaknya mengambil langkah yang perlu dan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan kehilangan wanita itu.
“Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Ling dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” katanya.