Bekas pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 8 tahun, didenda RM284.3 juta

Bekas pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 8 tahun, didenda RM284.3 juta

Ag Mohd Tahir Mohd Talib turut berdepan hukuman penjara keseluruhan 78 bulan jika gagal jelas denda.

Terdahulu, bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir Mohd Talib didapati bersalah atas 11 tuduhan bawah Amla. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM284.3 juta terhadap bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah yang didapati bersalah atas 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM45 juta, 10 tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara bagi setiap tuduhan terhadap Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, namun memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Tertuduh juga berdepan dengan hukuman penjara keseluruhan 78 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Terdahulu, Ag Mohd Tahir didapati bersalah atas 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001, dan satu tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt hingga 4 Nov 2016.

Isterinya Fauziah Piut, 61, dan bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 72, dilepaskan serta dibebaskan daripada tuduhan masing-masing dalam kes tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan denda munasabah terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu melibatkan dana awam yang sepatutnya digunakan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat.

“Kes ini dikategorikan sebagai ‘rare of the rarest’, mengambil kira kes ini melibatkan ketirisan dana awam jutaan ringgit yang kesalahan pengubahan wang haram dijalankan tertuduh dilakukan dengan sistematik menyebabkan ia sukar dikesan,” katanya.

“Wang diselewengkan ini wang rakyat dan sepatutnya digunakan bagi pembekalan air yang merupakan keperluan asas. Dalam tempoh 10 ke 20 tahun kebelakangan ini, media massa melaporkan rakyat negeri Sabah sedang melalui kesukaran pembekalan air, terutama di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, jika peruntukan itu tidak diseleweng, masalah bekalan air di negeri ini mungkin dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Sementara itu, peguam Ansari Abdullah yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya telah direman selama enam bulan sebelum mendapat ikat jamin RM500,000.

“Tertuduh kini mengalami masalah kesihatan serius termasuk osteoartritis yang mengehadkan pergerakan dan aktiviti sehariannya,” kata Ansari yang turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi semua tuduhan.

Abu Bakar kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman, selain mengekalkan jaminan sebelum ini, iaitu RM500,000 dengan geran tanah serta syarat lain sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.