Rombak segera sistem bola sepak, gesa Pemuda Amanah

Rombak segera sistem bola sepak, gesa Pemuda Amanah

Ia selepas Perak FC menarik diri daripada saingan Liga Super musim ini.

perak fc
Pemuda Amanah Perak menggesa badan pengelola liga segera merombak kerangka Liga Malaysia yang didakwa tidak seimbang dan membebankan pasukan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Amanah Perak menggesa rombakan menyeluruh sistem bola sepak negara selepas Perak FC menarik diri daripada saingan Liga Super musim ini.

Timbalannya Munzirie Kabir berkata krisis melanda Perak FC mengecewakan peminat bola sepak negeri dan petunjuk jelas struktur kewangan serta pentadbiran bola sepak Malaysia semakin tenat dan memerlukan perubahan drastik.

“Kita perlu berani menerima hakikat bahawa sistem sedia ada gagal menjamin kelangsungan pasukan bola sepak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mencadangkan penstrukturan semula gaji pemain, tumpuan terhadap pembangunan akar umbi dan pemerkasaan sokongan komuniti serta sektor swasta.

Munzirie turut menyarankan kerajaan negeri memberi insentif dan galakan kepada syarikat swasta menaja kelab bola sepak, termasuk melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pelepasan cukai.

“Kami akui cadangan ini mungkin tidak popular dalam kalangan pemain profesional, tetapi ia realiti yang perlu diterima, jika mahu bola sepak negeri terus hidup dan berkembang,” katanya sambil menambah industri bola sepak negara belum mampu menjana pulangan kewangan seperti kelab di Eropah, merujuk kegagalan syarikat yang mengambil alih pengurusan Perak FC.

Justeru, beliau menggesa badan pengelola liga seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) segera merombak kerangka Liga Malaysia yang didakwa tidak seimbang serta membebankan pasukan.

“Zaman kegemilangan bola sepak dahulu tidak dibina atas gaji jutaan ringgit, tetapi atas semangat kelab akar umbi dan sokongan masyarakat. Kita perlu kembali kepada asas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.