
Susulan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan hari ini, rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta akan didengar di Mahkamah Rayuan lewat tahun ini.
Hakim Nordin Hassan yang mengetuai panel tiga hakim, berkata hakim perbicaraan, Hakim Zaini Mazlan, tidak berat sebelah dan dakwaan terhadapnya tidak berasas.
“Perayu (Rosmah) gagal menunjukkan bahawa hakim perbicaraan bersikap berat sebelah. Tiada juga berlaku salah laksana keadilan,” kata Nordin, yang bersidang bersama Hakim Ruzima Ghazali dan Hakim Azimah Omar.
Beliau berkata asas utama permohonan penarikan diri itu adalah sama ada Zaini bergantung kepada ‘draf pendapat’ yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum membacakan penghakimannya pada 1 Sept 2022.
Nordin berkata kewujudan draf tersebut tidak dipertikaikan dan isu sebenar ialah sama ada wujud bahaya sebenar berlakunya berat sebelah seperti yang didakwa oleh Rosmah.
Beliau berkata hakim perbicaraan, dalam alasan penghakimannya berhubung permohonan penarikan diri itu, menyatakan bahawa beliau tidak bergantung kepada dokumen yang disediakan oleh unit penyelidikan tersebut.
Sebaliknya, kata Nordin, Zaini menyediakan alasan penghakimannya berdasarkan penyelidikannya sendiri serta hujahan pihak-pihak dalam perbicaraan rasuah itu.
Nordin berkata Mahkamah Rayuan, selepas meneliti pendapat 71 muka surat unit penyelidikan dan alasan penghakiman Zaini setebal 116 muka surat, turut mendapati terdapat perbezaan ketara antara kedua-duanya.
“Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan bahawa hakim perbicaraan menyediakan alasan penghakiman itu sendiri tanpa bergantung kepada pendapat yang disediakan pihak ketiga dan kami bersetuju dengan dapatan itu,” tambahnya.
Hakim itu berkata Zaini memberi Rosmah hak untuk didengar dalam permohonan penarikan diri saat akhir tersebut dan keputusannya untuk tidak membenarkan sebarang penangguhan perbicaraan tidak melanggar prinsip keadilan asasi atau hak perlembagaan Rosmah.
Beliau berkata sebarang ketidakpatuhan prosedur juga tidak ada dalam kes ini.
“Kami juga mendapati Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009,” katanya, sambil menambah bahawa sikap tidak berat sebelah dan integriti hakim dianggap wujud sebaik sahaja mereka mengangkat sumpah jawatan.
“Kami tidak menemui sebarang kesilapan yang boleh dirayu dalam kes ini yang memerlukan campur tangan mahkamah ini. Rayuan ditolak,” katanya.
Peguam Jagjit Singh, Akberdin Abdul Kader, Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Amer Hamzah Arshad mewakili Rosmah yang juga isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Timbalan Pendakwa Raya Asnawi Abu Hanipah, Ng Siew Wee dan P Sarulatha mewakili pihak pendakwaan.
Pada 1 Sept 2022, Zaini, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan saat akhir oleh Rosmah untuk menghalangnya daripada terus mendengar kes tersebut.
Rosmah mendakwa hilang keyakinan terhadap Zaini selepas satu draf penghakimannya yang didakwa diterbitkan oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, sebelum tarikh keputusan diumumkan.
Zaini mensabitkan Rosmah atas kesalahan meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar berkenaan.
Beliau juga didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, serta satu lagi pertuduhan menerima RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.