
Tertuduh, V Karthiy, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hazeelia Muhammad, namun tiada pengakuan direkodkan, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menumbuk bertubi-tubi dada dan memukul P Sasi Kumar, 52, yang menyebabkan kematian mangsa, kira-kira 2.30 petang di Taman Rahang pada 27 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam A R Thamayanthy
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Jun depan bagi laporan bedah siasat dan laporan kimia.