
Timbalan presiden Bersatu berkata, Malaysia mesti menyemak semula struktur ekonominya dan merombak tadbir urus dalam bidang utama, mengenal pasti dasar yang berakar umbi dan kelemahan tadbir urus sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan.
“Penstrukturan semula secara menyeluruh penting untuk memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan untuk 50 hingga 60 tahun akan datang. Ini bermakna merombak dasar semasa dan membawa pakar untuk membantu kita mengemudi perubahan global,” katanya kepada FMT.
Beliau menekankan kelemahan pangkalan perindustrian Malaysia, membuat perbandingan dengan Taiwan dan menyatakan walaupun kedua-dua negara bermula di tahap sama pada 1970-an, Taiwan sejak itu melonjak jauh ke hadapan.
“Sebagai contoh, kita berpuas hati dengan memberi tumpuan kepada segmen pertengahan industri semikonduktor, tanpa maju ke huluan atau hiliran. Kita perlu menilai semula perkara ini dan dengan berbuat demikian, kita juga perlu mempertimbangkan semula asas modal kita,” katanya yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Hamzah berkata, situasi semasa mengehadkan potensi Malaysia memperoleh aktiviti nilai tambah dan keuntungan lebih tinggi, kehilangan peluang untuk memaksimumkan peranannya dalam rantaian nilai penuh, menekankan keperluan untuk mempertimbangkan semula tenaga kerja negara bagi menyokong peralihan itu.
Bagaimanapun, Hamzah berkata menangani modal insan, ia memerlukan proses penilaian lebih teliti, yang akan membawa kepada pembaharuan dalam bidang lain juga.
“Untuk menilai semula modal insan kita, kita perlu melihat pendidikan, kewangan, sumber, dan komoditi. Semuanya perlu disusun semula,” katanya.
Hamzah juga mempersoalkan Malaysia terlalu bergantung kepada import walaupun mempunyai tanah dan sumber yang banyak, terutama untuk pertanian.
“Kita mempunyai tanah yang mencukupi untuk menanam padi, namun kita mengimport hampir 40% daripadanya. Ada sesuatu yang tidak kena dengan struktur ini,” katanya.
Katanya, menangani isu itu penting dalam menambah baik asas perindustrian secara keseluruhan.
Tahun lalu, pakar ekonomi utama Bank Dunia untuk Malaysia, Apurva Sanghi, meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.
Beliau mengaitkannya dengan prestasi ekonomi negara yang kukuh, termasuk peningkatan kepada unjuran pertumbuhan 2024 daripada 4.3% kepada 4.9%.
Kepentingan penglibatan belia
Hamzah menekankan kepentingan golongan muda dalam menentukan kemajuan negara, dan pendidikan mesti selaras dengan dasar ekonomi negara.
“Anda tidak boleh begitu sahaja menggalakkan golongan muda melanjutkan pengajian tinggi tanpa memastikan ia sepadan dengan dasar semasa, jika tidak akan berlaku ketidaksepadanan,” katanya.
Beliau berkata, ketidaksepadanan semasa menyebabkan ramai golongan muda berpendidikan bergelut dengan gaji, namun mereka yang tidak berpendidikan tinggi menjana pendapatan lebih tinggi.
Hamzah menyeru pemimpin mendekati golongan muda dan membantu memahami dan menghayati wawasan negara – supaya mereka yakin kepimpinan hari ini tidak akan meninggalkan golongan itu.