
Ketua Bersatu Larut, Hassuandi Hamzah, mengesahkan antara dipanggil dan memaklumkan menerima surat daripada lembaga berkenaan hari ini.
“Ramai antara kami menerima surat daripada lembaga disiplin. Saya salah seorang daripadanya,” katanya kepada FMT.
Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid, turut dipanggil dan berkata beberapa pemimpin bahagian di Perak sudah dipanggil oleh panel disiplin termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan, yang mengetuai bahagian itu.
“Selain saya, yang lain ialah ketua bahagian Padang Rengas, Gopeng, Tapah, Larut, Pasir Salak, serta Ahli Parlimen Gerik,” katanya.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, turut mengesahkan menerima notis untuk menghadiri prosiding disiplin pada Rabu.
“Presiden sepatutnya mencari cara lain untuk menyelesaikan perkara ini. Namun, jika beliau memilih tindakan disiplin, semua sudah bersedia,” katanya.
Fathul mengesahkan mereka dipanggil berhubung sidang media bulan lalu, yang menggesa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden Bersatu.
FMT menghubungi Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Radzi Abdul Manan untuk mendapatkan komen.
Bulan lalu, dilaporkan 14 daripada 24 bahagian Bersatu di Perak menggesa Muhyiddin melepaskan jawatan susulan kegagalannya menguruskan krisis dalaman Bersatu yang berlarutan.
Kumpulan itu, yang diwakili Ketua Bersatu Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, berkata isu tersebut boleh diselesaikan lebih awal jika ditangani lebih tegas, dan pertikaian berpanjangan menjejaskan imej Bersatu serta Perikatan Nasional.
Menurut notis dilihat FMT, tindakan mereka telah menjejaskan sokongan terhadap Bersatu dan PN, mencemarkan imej Muhyiddin, serta menyebabkan perpecahan dalam parti.
Ketegangan dalam Bersatu semakin memuncak sejak perhimpunan agung tahunan September lalu, susulan edaran surat tanpa nama yang mendakwa wujud komplot untuk menyingkirkan Muhyiddin.
Satu resolusi yang menyokong beliau sebagai calon Bersatu bagi perdana menteri ke-11 turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan sekutu khususnya PAS.
Keadaan bertambah buruk selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dipecat, dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung, masing-masing atas dakwaan melanggar perlembagaan parti dan kod tatakelakuan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, turut dipecat pada Selasa selepas menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden Bersatu bagi memberi laluan kepada Hamzah mengambil alih jawatan itu.
Muhyiddin masih kekal menerajui Bersatu walaupun meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 1 Jan.