Himpunan Azam Baki: Tiada insiden tak diingini, kata polis KL

Himpunan Azam Baki: Tiada insiden tak diingini, kata polis KL

Ketua polis KL berkata, kira-kira 600 pegawai dan anggota digerakkan kawal keselamatan.

Fadil Marsus Polis KL
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, perhimpunan di sekitar kompleks Sogo hingga Dataran Merdeka petang tadi berjalan lanca, dalam keadaan terkawal.
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang himpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki meletak jawatan, yang berlangsung petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, perhimpunan di sekitar kompleks Sogo hingga Dataran Merdeka yang bermula kira-kira 4 petang, dihadiri kira-kira 200 peserta, berjalan lancar dan dalam keadaan terkawal.

“Tidak ada kekerasan dan tidak ada kacau ganggu serta tidak kelihatan tindakan yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya pada sidang media.

Beliau memaklumkan, seramai 600 pegawai dan anggota polis daripada IPK Kuala Lumpur, IPD Dang Wangi serta daerah berhampiran digerakkan serta ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan keselamatan peserta himpunan.

“Kita telah terima pemakluman sebelum ini daripada awal dan pihak penganjur pun kita ada buat ‘engagement’ dengan pihak penganjur,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Fadil, pihaknya akan meneliti semula perjalanan himpunan itu dari awal hingga tamat bagi memastikan tiada unsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) terbabit, dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Terdahulu, para peserta himpunan yang berpakaian serba hitam berkumpul di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, dengan polis turut hadir, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Laungan ‘Turun, turun Azam Baki’ dan ‘Bangkit, bangkit anak muda’ bergema dalam kalangan peserta yang turut memegang plakad antaranya tertera ‘Lawan dua darjat’ dan ‘Kantoi dengan Bloomberg’.

Antara yang turut dilihat hadir termasuk Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz; ahli perniagaan kontroversi Albert Tei; serta aktivis Hishamuddin Rais.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.