Kastam rampas dadah lebih RM500,000 di Kelantan

Kastam rampas dadah lebih RM500,000 di Kelantan

Sindiket dipercayai menggunakan kenderaan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum dadah itu diedarkan kepada pelanggan.

WAN JAMAL ABDUL SALAM WAN LONG
Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pemeriksaan terhadap kereta Proton Iswara ditinggalkan menemukan satu guni berisi 17 ketulan mampat serbuk putih jernih menyerupai kristal dipercayai methamphetamine. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 18.032kg dadah dipercayai jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM585,664 dalam serbuan di Kampung Resak, Pasir Mas, 10 April lalu.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan dilakukan kira-kira 7.18 pagi oleh pasukan operasi cawangan penguatkuasaan Kota Bharu susulan maklumat awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Iswara ditinggalkan di kawasan itu menemukan satu guni berisi 17 ketulan mampat serbuk putih jernih menyerupai kristal, dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Nilai anggaran dadah itu di pasaran semasa ialah RM585,664 manakala nilai kenderaan terbabit dianggarkan berjumlah RM1,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket terlibat dipercayai menggunakan kenderaan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum dadah berkenaan diedarkan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Jamal berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol kastam di 1 800 88 8855 atau menghubungi pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.