Dandang stim meletup, 4 pekerja asing cedera

Dandang stim meletup, 4 pekerja asing cedera

Kejadian berlaku ketika kerja pembakaran dilakukan di sebuah kilang sawit di Kuala Selangor, pagi tadi.

brick factory JBPM pic 030525
Anggota bomba melakukan pemeriksaan di lokasi selepas dandang stim meletup menyebabkan kebakaran di sebuah kilang sawit. (JBPM pic)
PETALING JAYA:
Empat pekerja warga asing cedera selepas dandang stim (boiler) meletup dalam kejadian di sebuah kilang sawit di Kuala Selangor pagi tadi.

Mangsa melibatkan dua lelaki warga Nepal dan masing-masing seorang lelaki warga India dan Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi.

Katanya, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya ke lokasi sejauh 12 kilometer bersama satu jentera FRT.

“Jentera tiba di lokasi pada 9.11 pagi dan hasil laporan awal komander operasi, letupan berlaku ketika kerja pembakaran dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa yang melecur di bahagian kaki telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

“Kebakaran bagaimanapun telah dipadamkan sebelum pasukan bomba tiba.

“Punca sebenar letupan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.