
Ini kerana, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi) KKM, Dr Azuana Ramli, tempoh itu akan memfokuskan penguatkuasaan pendidikan.
“Tempoh tiga bulan ini merupakan fasa penguatkuasaan pendidikan, inilah masanya untuk KKM menjalankan advokasi dan melihat bagaimana perintah ini dilaksanakan oleh pihak pelaksana,” katanya menurut Sinar Harian pada sesi taklimat Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di Putrajaya.
Turut hadir Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam.
Semua ubat dijual atau dibekalkan klinik swasta dan farmasi komuniti wajib mempunyai tanda harga jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis mulai semalam susulan pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat.
Ia termasuk ubat memerlukan preskripsi doktor, ubat tanpa preskripsi atau “over-the-counter”, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan ubat bancuhan (extemporaneous).
Ia bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.
Sementara itu, Azman berkata, tiada saman dikeluarkan pihaknya pada hari pertama pelaksanaan perintah itu susulan dakwaan seorang doktor diugut disaman pegawai penguat kuasa KPDN.
“Tidak ada apa-apa notis atau saman dikeluarkan oleh pegawai KPDN semalam.”
Beliau berkata, pasukan penguat kuasa KPDN berada di kawasan sama untuk melaksanakan penguatkuasaan Ops Gasak dan pemantauan harga telur ayam yang dikurangkan subsidi semalam.
“Kebetulan klinik tersebut dibuka dan beroperasi. Pegawai kami cuma tanya sama ada dia (klinik) tahu atau tidak mengenai pelaksanaan perintah tersebut. Itu sahaja.
“Tidak ada apa-apa dokumentasi dikeluarkan pegawai tersebut. Saya harap ini dapat menjelaskan kekeliruan.”