Kerajaan mesti tegas, jelas tentang subsidi RON95 bersasar, kata Wan Fayhsal

Kerajaan mesti tegas, jelas tentang subsidi RON95 bersasar, kata Wan Fayhsal

Pemimpin Bersatu juga dakwa aduan tentang cadangan menaikkan tarif elektrik bagai mencurah air ke daun keladi.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal kata aliran keluar dana asing bersih yang dialami oleh Bursa Malaysia selama 26 minggu baru-baru ini ‘penunjuk bahawa keyakinan pasaran bukan pada tahap yang baik’.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menunjukkan ketegasan berhubung rasionalisasi subsidi petrol RON95, yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dasar yang tidak jelas berisiko menjejaskan keyakinan pelabur. Ini seterusnya akan beri kesan buruk pada pelaburan langsung asing dan domestik, katanya.

“Jika (merasionalkan subsidi petrol RON95) perlu dilakukan kerana kekurangan hasil negara, ia perlu dilakukan dengan betul. Tiada pengumuman flip-flop,” katanya kepada FMT.

“Jika kerajaan mahu melakukan perkara yang tidak popular, lakukan sahaja. Mara dan gembleng rakyat agar sekurang-kurangnya orang ramai bersiap sedia hadapi cabaran mendatang.”

Ahli majlis tertinggi Bersatu itu berkata aliran keluar dana asing yang dialami Bursa Malaysia selama 26 minggu berturut-turut antara Oktober 2024 dan akhir bulan lepas “penunjuk bahawa keyakinan pasaran bukan pada tahap yang baik”.

Menurut Wan Fayhsal, trend sedemikian boleh beri kesan negatif pada perusahaan kecil dan sederhana.

Pada pandangannya, pelan tindakan dan rangka kerja dasar yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dimaklumkan secara berkesan kepada penjawat awam atau orang ramai.

“Pelaksanaan tidak dilakukan dengan betul dan kurang jelas, dan itulah sebabnya wang (pelaburan asing) tidak ada di sini. Apabila anda tidak menyampaikan polisi dengan baik, pelabur akan teragak-agak untuk melabur bagi jangka masa panjang.

“Kita mendahului negara jiran dalam hal pembuatan semikonduktor, tetapi ini sesuatu yang diwarisi dan bukannya lahir di bawah kerajaan Anwar,” katanya.

Rasionalisasi subsidi petrol RON95, yang pada asalnya dirancang untuk 2024, ditangguhkan ke pertengahan 2025, lalu mengundang kritikan pelbagai pihak berhubung kekurangan kejelasan berhubung mekanisme pelaksanaan.

Pada Oktober tahun lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli beritahu Bloomberg bahawa kerajaan sedang bersedia menghadapi tindak balas orang ramai berkenaan rancangan menyelaras subsidi petrol.

Bulan lalu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia meminta penjelasan ke atas pelbagai kebimbangan mengenai pelaksanaan, termasuk soal kelayakan, penggunaan MyKad untuk mengenal pasti penerima yang layak, dan kos serta implikasi kewangan.

Bagaimanapun, Rafizi pada Mac berkata kerajaan masih belum menentukan bagaimana kelayakan akan ditentukan walaupun Jemaah Menteri telah semak empat cadangan.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan sedang mengolah semula pengelasan pendapatan T15 sedia ada, yang akan diumumkan pada suku pertama tahun ini.

T15 merujuk kepada 15% penerima pendapatan teratas.

‘Curah air ke daun keladi’

Dalam pada itu, Wan Fayhsal mendakwa kerajaan tidak mengendahkan aduan berhubung cadangan menaikkan tarif elektrik.

“Persatuan perdagangan mengadu kepada perdana menteri dan menggesa beliau tidak menaikkan tarif lagi kerana mereka tidak bersedia, mengatakan pelaksanaannya akan beri kesan pada operasi.

“Saya percaya ia bagai mencurah air ke daun keladi,” katanya.

Pada Disember, Tenaga Nasional Bhd mencadangkan jadual tarif baharu dengan kadar asas 45.62 sen sekilowatt-jam bagi Semenanjung, meningkat daripada 39.95 sen/kWj semasa. Ia ditetapkan akan dilaksana mulai 1 Julai 2025.

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia berkata potensi kenaikan tarif elektrik, di samping peningkatan kos operasi yang lain, akan beri tekanan kewangan yang besar ke atas pengendali dan pengguna.

Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia, Persatuan Pekilang Plastik Malaysia, dan Persekutuan Pengilang Malaysia turut membantah cadangan itu dan merayu kerajaan pertimbang semula rancangan menaikkan tarif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.