Difitnah ‘pembelot bangsa’, Syahredzan, Rara timbang saman Adun PN

Difitnah ‘pembelot bangsa’, Syahredzan, Rara timbang saman Adun PN

Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin memuat naik kenyataan berbaur fitnah mengaitkan dua Ahli Parlimen itu dipergunakan DAP sebagai 'wajah Melayu' bagi mengaburi mata rakyat.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Raub Young Syefura Othman kecewa perbuatan memfitnah menjadi budaya PN khususnya di alam maya.
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen DAP mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Adun Kuala Sentul daripada Perikatan Nasional (PN) Jasri Jamaludin kerana memfitnah mereka ‘pembelot bangsa’.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Raub Young Syefura Othman dalam kenyataan bersama berkata, mereka kecewa perbuatan memfitnah menjadi budaya PN khususnya di alam maya.

“Kami memandang serius perkara ini kerana sebelum ini kami sentiasa difitnah pengikut PN di alam maya. Kami tidak sangka perangai ini dicerminkan juga oleh pemimpin mereka seperti Adun ini.

“Kami akan mendapatkan nasihat peguam dan memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau,” kata mereka di Facebook.

Syahredzan dan Young Syefura turut mengingatkan pemimpin PN tidak lupa keputusan mahkamah mengarahkan mereka membayar pampasan kepada pemimpin DAP kerana memfitnah.

Semalam, Jasri memuat naik kenyataan berbaur fitnah mengaitkan dua wakil rakyat itu dipergunakan DAP untuk dijadikan ‘wajah Melayu’ dalam parti berkenaan bagi mengaburi mata rakyat.

Beliau mendakwa, dua Ahli Parlimen itu sanggup menjadi sukarelawan untuk menjadi pembelot bangsa, atas nama ‘kebebasan bersuara’ dan ‘hak mutlak’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.