7 Julai prosiding tuntutan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris, kata Azalina

7 Julai prosiding tuntutan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata badan kehakiman Perancis akan meneliti kesahihan anugerah timbang tara terhadap Malaysia dan pelbagai aspek perundangan berkaitan.

azalina
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said yang dalam lawatan kerja ke Eropah menemui pasukan perundangan mewakili Malaysia di Paris untuk pemetaan strategi berterusan dan kemas kini kes tuntutan Sulu.
KUALA LUMPUR:
Prosiding seterusnya kes tuntutan kumpulan Sulu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan Paris pada 7 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Beliau berkata, perbicaraan itu akan menyaksikan badan kehakiman Perancis meneliti kesahihan anugerah timbang tara terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan berkaitan.

“Malaysia akan terus melaksanakan semua usaha, hak dan sumber yang ada untuk melindungi kedaulatan kekebalan dan kepentingan Malaysia serta memuktamadkan kes penipuan kumpulan Sulu yang tidak berasas.

“Beberapa keputusan memihak Malaysia mutakhir ini, semuanya secara signifikan mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan undang-undang Malaysia sebagai negara merdeka lagi berdaulat,” katanya dalam kenyataan.

Antaranya, Mahkamah Perancis membatalkan pengiktirafan anugerah awal, menolak anugerah akhir Mahkamah Agung Belanda dan sabitan jenayah Mahkamah Rayuan terhadap penimbang tara Gonzalo Stampa kerana menghina mahkamah.

Azalina berkata, kes tuntutan kumpulan Sulu mencabar had imuniti Malaysia sebagai negara berdaulat yang menyaksikan bagaimana pembiayaan pihak ketiga disalahgunakan bagi memanjangkan tuntutan tidak berasas terhadap Malaysia dengan cara amat licik, selain memperlihatkan tribunal timbang tara swasta cuba merampas aset milik kerajaan.

Azalina yang dalam lawatan kerja ke Eropah turut mengadakan pertemuan dengan pasukan perundangan mewakili Malaysia di Paris untuk pemetaan strategi berterusan dan kemas kini kes tuntutan Sulu.

Sebelum ini, lapan warga Filipina memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah, dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 melantik Stampa sebagai penimbang tara kes itu. Mereka mendakwa diri waris kepada Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud.

Pada 28 Feb 2022, Stampa membuat keputusan memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan award akhir sebanyak USD14.9 bilion hasil timbang tara tidak sah, meskipun pelantikannya sebagai penimbang tara dibatalkan Mahkamah Sepanyol.

Malaysia sebelum ini memperoleh beberapa siri kemenangan dalam kes tuntutan kumpulan Sulu, antaranya Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan kumpulan itu November lalu.

Kemenangan bersejarah buat Malaysia itu bermakna asas awal membawa kepada award akhir, iaitu Malaysia perlu membayar pampasan USD14.9 bilion tidak diiktiraf bawah undang-undang Perancis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.