Kerjasama PH percepat kemerosotan Umno, kata Pemuda MCA Johor

Kerjasama PH percepat kemerosotan Umno, kata Pemuda MCA Johor

Ketua Pemudanya Heng Zhi Li berkata kerjasama itu juga boleh menyebabkan parti komponen BN tidak lagi relevan.

bn ph
Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li berkata Barisan Nasional tidak boleh menggadaikan prinsip, maruah, dan misi asal hanya demi kelangsungan politik jangka pendek.
PETALING JAYA:
Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bukan hanya mengecilkan pengaruh politik MCA, tetapi juga mempercepat kemerosotan serta menjejaskan kelangsungan Umno, kata Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li.

Heng berkata jika trend ini diteruskan parti-parti komponen BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH.

Heng Zhi Li.

Katanya, beliau juga kesal dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros yang mengkritik kebimbangan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon yang menggesa parti itu mencari haluannya sendiri sekiranya BN gagal menjelaskan hala tuju gabungan terbabit.

“Saya kesal kerana kenyataan tersebut meletakkan BN pada kedudukan yang lebih rendah dan tertakluk.

“PH bukan menyelamatkan BN, tetapi sedang melumpuhkan kami dari dalam. Kerjasama membuta tuli hanya membawa BN ke arah kehancuran politik dan tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong yang dipetik Sin Chew Daily, menggesa parti itu untuk mengawal masa depannya sendiri jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Selayang 2025, beliau berkata MCA telah memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan BN telah menyebabkan ahli MCA kecewa dan keliru.

Chong juga meluahkan rasa kecewanya kerana parti itu telah diketepikan.

Heng berkata, ideologi PH yang bertentangan dengan nilai teras diperjuangkan BN membuktikan bahawa gabungan itu tidak pernah menjadi rakan semula jadi BN.

Katanya, MCA komited untuk membina semula BN sebagai gabungan berbilang kaum yang sejati berasaskan tadbir urus pragmatik, keharmonian kaum dan perancangan ekonomi jangka panjang.

“Kita tidak boleh menggadaikan prinsip, maruah, dan misi asal hanya demi kelangsungan politik jangka pendek,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan BN supaya satu penilaian jujur dan mendesak dilakukan terhadap hala tuju BN demi masa depan gabungan itu, rakyat dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.