KBS henti guna dana kerajaan untuk bina, naik taraf fasiliti swasta

KBS henti guna dana kerajaan untuk bina, naik taraf fasiliti swasta

Keputusan itu bagi menghentikan amalan guna dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh umum kementeriannya tidak akan lagi guna dana awam untuk bina atau naik taraf fasilisiti atas tanah milik persendirian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian.

Menteri Hannah Yeoh berkata keputusan itu bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal.

“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad,” katanya lapor Bernama, selepas Konvensyen Rakan Muda di ibu negara.

“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik kerajaan persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin.”

Menurutnya, pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya manakala sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan perlu dapat persetujuan rasmi terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Hannah mendedahkan terdapat kes di mana kerajaan negeri enggan terima fasiliti yang dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.

Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara dilupus dan dirobohkan sejak 2021.

Pelupusan tersebut melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata KBS kini memberi tumpuan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan, termasuk ketagihan vape dan penyalahgunaan dadah, khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, KBS fokus pada penyediaan platform untuk belia mendapatkan maklumat, bantuan dan rawatan, termasuk secara dalam talian.

“Kita bekerjasama dengan Majlis Aids Malaysia untuk membantu belia mendapatkan sokongan dalam persekitaran yang lebih selesa,” katanya.

Tambah beliau, masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara serius kerana ia berpotensi menjejaskan produktiviti tenaga kerja.

Terdahulu dalam ucapannya, Hannah menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan jumlah keahlian kelab belia sejak dua dekad lalu.

Beliau berkata sekitar era 1990-an, hampir 50% populasi belia negara, atau antara empat hingga lima juta orang, aktif menyertai kelab-kelab belia, sekali gus memudahkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai program.

“Namun selepas kemunculan telefon pintar dan kemudahan perkhidmatan dalam talian, minat terhadap aktiviti fizikal dan keahlian kelab belia semakin merosot.

“Sehingga tahun lalu, hanya sekitar satu juta belia yang aktif, iaitu kira-kira 10% sahaja. Persoalannya, ke manakah hilangnya baki 90% peratus lagi?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.