Hannah tegur penganjur WWC guna kanak-kanak untuk mohon maaf

Hannah tegur penganjur WWC guna kanak-kanak untuk mohon maaf

Menteri Hannah Yeoh berkata Warzone World Championship (WWC) perlu bertanggungjawab berhubung penganjuran kejohanan tidak memperoleh kelulusan rasmi KBS.

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh berkata kanak-kanak yang memohon maaf kerana kekecohan itu tidak bersalah tetapi penganjur Warzone World Championship (WWC) perlu bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegur penganjur Warzone World Championship (WWC) kerana menggunakan seorang kanak-kanak untuk mengemukakan permohonan maaf berhubung penganjuran kejohanan itu.

Menulis di ruangan komen Instagram kanak-kanak berkenaan, Hannah menegaskan penganjur WWC perlu bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan kejohanan tersebut tidak mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil ini tidak bersalah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, sebuah video dimuat naik menerusi akaun Instagram alfateh_semboyanwarrior menunjukkan kanak-kanak itu memohon maaf atas insiden menendang pesaing dari Indonesia ketika sidang media WWC baru-baru ini.

“Kepada YB Hannah Yeoh, timbalan menteri (Adam Adli) supaya tidak batalkan perlawanan saya. Saya merayu supaya saya dapat bermain di WWC.

“Kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, saya mohon sokongan anda. Saya juga minta maaf. Selepas ini saya akan lebih tenang dan tidak bertindak begitu lagi,” katanya dalam video tersebut.

Ahad lalu, Hannah dalam kenyataan menjelaskan WWC tidak memperoleh kelulusan rasmi daripada KBS.

Menurutnya, sebarang penganjuran acara sukan yang melibatkan penyertaan antarabangsa wajib mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Kejohanan International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Dis ini menarik perhatian selepas beberapa klip video pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia tular, dipercayai sebahagian daripada strategi promosi acara tersebut.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur di negara ini yang mempersoalkan profesionalisme dan keselamatan penganjuran tersebut termasuk pembabitan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.