Simpanan RM300,000 kerani bank lesap angkara pelaburan palsu

Simpanan RM300,000 kerani bank lesap angkara pelaburan palsu

Mangsa sebelum itu menerima mesej pesanan ringkas di WhatsApp dari individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Alyssa'.

scam
Mangsa dimaklumkan suspek bahawa dia perlu membayar pelbagai kos perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan, kata Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris.
PETALING JAYA:
Seorang kerani bank kerugian RM379,200 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Kejadian berlaku pada 11 Feb lalu apabila wanita berusia 48 tahun itu menerima mesej pesanan ringkas di WhatsApp dari individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Alyssa’.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata mangsa yang tidak mengenali suspek diajak untuk menyertai satu pelaburan yang menguntungkan.

Menurutnya, suspek telah menghantar pautan dengan meminta mangsa untuk memuat turun aplikasi dinamakan ‘XGI Horizon Pro’ yang membolehkannya melihat rekod pelaburan.

“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu kerana pulangan tinggi yang akan diterima, apatah lagi apabila mangsa melabur sebanyak RM10,000 dan dalam masa lebih kurang tiga jam aplikasi milik mangsa menunjukkan pulangan sebanyak RM1.6 juta.

“Bagaimanapun suspek memberitahu mangsa perlu membayar pelbagai kos perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan terbabit.

“Atas dasar percaya, mangsa telah membuat pindahan wang seperti diarahkan dari Februari hingga pertengahan April sebanyak 18 transaksi ke enam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM379,200,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Helmi berkata, mangsa hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas memberitahu berhubung pelaburan itu kepada suaminya.

“Mangsa telah menceritakan kepada suaminya berkaitan pelaburan ini dan suaminya kemudian menyedarkan mangsa bahawa tiada pelaburan yang boleh memberikan pulangan dalam masa singkat.

“Selepas sedar ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.