
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada mangsa berusia 35 tahun itu di Balai Polis Kuala Terengganu pada 6.07 petang semalam.
Katanya, mangsa sebelum itu bertemu dengan pelanggan terbabit di tempat kerjanya pada 16 Disember lalu sambil ditunjukkan gambar syarikat saham dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Individu itu berkongsi gambar-gambar bukti pendapatan hasil daripada saham berkenaan.
“Kenalannya itu kemudian mengajak mangsa untuk menjadi rakan kongsi di dalam pelaburan saham itu.
“Bermula pada 17 Disember lalu, mangsa menyertai perlaburan saham itu yang mana individu berkenaan mengajar mangsa cara melakukan pelaburan saham berkenaan,” katanya, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan 15 transaksi antara 17 Disember hingga 24 Januari kononnnya sebagai modal permulaan pelaburan.
“Dia bagaimanapun tidak mendapat pulangan keuntungan dijanjikan sebanyak RM200,000 sebelum berasa diperdaya dan membuat laporan di balai polis.
“Mangsa mengalami kerugian RM100,900. Sumber kewangannya adalah hasil simpanan selain hasil jualan lima motosikal sendiri, wang pinjaman rakan dan saudara terdekat,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.