PRK Ayer Kuning: BN nafi salah guna jentera kerajaan

PRK Ayer Kuning: BN nafi salah guna jentera kerajaan

Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad juga menggesa Bersih memfailkan aduan kepada SPR jika mempunyai bukti kukuh.

MOHAMAD YUSRI BAKIR
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata sebarang dakwaan pelanggaran peraturan pilihan raya perlu dibuat melalui saluran betul bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.
TAPAH:
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menafikan dakwaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan jentera kerajaan dalam kempen PRK Ayer Kuning.

Justeru, pengerusi BN Perak menggesa Bersih memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mempunyai bukti kukuh.

Saarani berkata, sebarang dakwaan membabitkan pelanggaran peraturan atau Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu dibuat melalui saluran betul bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.

Katanya, tindakan calon BN, Mohamad Yusri Bakir yang hadir program didakwa anjuran kerajaan negeri adalah untuk berjumpa seberapa ramai pengundi termasuk di kawasan tumpuan orang ramai.

“Yang bercakap ini adalah Bersih, mereka boleh lapor kepada SPR, biar SPR buat keputusan.

“Calon di mana ada manusia berhimpun dia kena pergi sebab ia adalah ruang paling mudah untuk dia (bertemu pengundi),” katanya selepas menghadiri program seminar keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah.

Semalam, Bersih mendakwa mengesan sekurang-kurangnya tiga pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil oleh parti pemerintah sepanjang tempoh kempen termasuk penyalahgunaan sumber kerajaan serta taktik yang menjejaskan integriti proses pilihan raya dengan berkempen secara tidak adil.

Bersih turut mendakwa, BN menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen apabila Saarani hadir dalam satu program bersama anak muda di Tapah yang turut dihadiri calon BN.

Dalam perkembangan lain, Saarani menafikan dakwaan sebuah syarikat kuari menceroboh tanah warisan Orang Asli di Bidor, dan meminta penduduk tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut.

“Saya nasihatkan Orang Asli jangan sangat terpengaruh dengan apa-apa dakyah yang tak betul, kita nak bangunkan negeri termasuk bangunkan Orang Asli,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.