Kalah di bahagian, Nik Nazmi tak berganjak pertahan naib presiden PKR

Kalah di bahagian, Nik Nazmi tak berganjak pertahan naib presiden PKR

Menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar berkata beliau serah kepada kebijaksanaan ahli parti menilai prestasi serta sumbangannya sepanjang memegang jawatan itu.

nik nazmi
Nik Nazmi Nik Ahmad satu-satunya penyandang naib presiden yang kalah di peringkat bahagian pada pemilihan PKR, baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Nik Nazmi Nik Ahmad tidak berganjak mempertahankan jawatan naib presiden PKR walaupun gagal menjadi ketua di Setiawangsa pada pemilihan, baru-baru ini.

Menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli parti menilai prestasi serta sumbangannya sepanjang memegang jawatan itu.

“Setakat ini, seperti yang saya pernah nyatakan, saya akan mempertahankan jawatan tersebut. Insya-Allah, kita kekal dengan keputusan itu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Selain Nik Nazmi, dua lagi naib presiden – Amirudin Shari dan Aminuddin Harun juga akan mempertahankan jawatan, selain mereka menang ketua bahagian masing-masing di Gombak dan Port Dickson.

Esok akan diadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dikatakan antara lain akan menyentuh proses pemilihan di peringkat bahagian. Pemilihan pusat dijadual berlangsung 24 Mei ini.

Minggu lalu, bekas ketua PKR Shah Alam, Rodziah Ismail, membantah kekalahannya dengan mempersoalkan undi diterima lebih rendah berbanding pasukannya.

Ahli Parlimen Ampang itu ‘pelik’ bagaimana keputusan disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menunjukkan ‘regunya’ bagi jawatan timbalan, naib, dan ahli jawatankuasa menang dengan merekodkan undi tinggi.

Perkara sama didakwa berlaku di Kangar apabila Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, menyuarakan keanehan selepas beliau kalah pertandingan ketua, sebaliknya calon pasukannya bagi jawatan timbalan ketua, naib, dan seluruh ahli jawatankuasa termasuk sayap Wanita menang.

Menurut laporan itu, situasi sama turut melibatkan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di bahagian itu, Adun Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Adun Rawang Chua Wei Kiat di Selayang, dan Ginie Lim di Alor Gajah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.