
Calon tunggal bagi jawatan itu menerima mandat ahli gabungan untuk melanjutkan peranan buat penggal ketiga sejak 2018.
“Saya bayangkan ‘keberkesanan dan kecekapan’ sebab saya tidak mahu ada ‘penumpang’ kerana kalau mengharapkan presiden sahaja atau timbalan presiden, kita tak akan ada unit besar.
“Unit yang besar ini memerlukan gabungan daripada semua latar belakang dan hari ini kita melihat latar belakang itu satu acuan yang menarik bagi saya. Acuan yang menarik ini diperlukan untuk kita memantapkan ‘Olympic Movement’,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat.
Turut mencuri tumpuan pemilihan Nur Azmi Ahmad sebagai timbalan presiden baharu susulan bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Hamidin Mohd Amin tidak mempertahankan jawatan.
Azmi yang juga presiden Persekutuan Karate Malaysia mengetepikan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Awalan Abdul Aziz dengan kemenangan 70-20.
“Terima kasih kepada Norza memberi ruang kepada saya. Saya percaya kita boleh bekerja sebagai satu pasukan. Kalau kita menang, kita menang bersama, kalau kalah, kita kalah bersama.
“Saya kena turun membantu dan selesaikan masalah. Saya harap ketua pengarah Majlis Sukan Negara yang baharu ini boleh beri kerjasama yang baik,” katanya.