Jangan takut gagal, fokus syarikat pemula, GLIC digesa

Jangan takut gagal, fokus syarikat pemula, GLIC digesa

Ketua Penyelidik Khazanah Nungsari Ahmad Radhi berkata syarikat pelaburan perlu beralih daripada melabur dalam firma tersenarai kepada firma mencipta perkara baharu.

18_FORUM_ILMUWAN
Anwar Ibrahim bersama Amirul Feisal Wan Zahir (kiri), Johari Ghani dan Nungsari Ahmad Radhi (kanan) dalam satu forum, malam tadi.
PETALING JAYA:
Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu mengatasi ketakutan terhadap kegagalan dan menyalurkan dana kepada syarikat pemula inovatif yang berpotensi mengembangkan asas ekonomi negara, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Nungsari Ahmad Radhi.

Nungsari, seorang ahli ekonomi, berkata pelaburannya perlu beralih daripada firma telah berjaya dan tersenarai di bursa saham kepada syarikat menumpukan ‘penciptaan perkara baharu.

Beliau berkata pendekatan ini akan menggalakkan inovasi dan meningkatkan daya saing, sekali gus membantu negara mengejar kemajuan dicapai negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Namun begitu, katanya, GLIC berdepan dilema apabila sebarang kegagalan pelaburan akan mengundang reaksi negatif masyarakat, seperti kerugian pelaburan dialami Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad dalam FashionValet.

“Kita mesti akui bahawa risiko melabur dalam firma baharu adalah tinggi. Kita perlu jangka bahawa tujuh atau lapan daripada 10 firma akan gagal.

“Tetapi kita boleh tumpu kepada pelaburan dalam firma yang memberi manfaat kepada orang ramai. Jika pelaburan itu berjaya, ia akan membawa faedah besar kepada negara,” kata Nungsari dalam satu forum malam tadi.

Menerusi forum sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam maklum balasnya berkata akauntabiliti menjadi aspek penting dalam sebarang pelaburan melibatkan dana awam.

Namun beliau menambah, satu mekanisme boleh diwujudkan bagi memperuntukkan sebahagian dana untuk membantu syarikat pemula.

Anwar turut menyatakan negara perlu melakukan satu ‘lonjakan kuantum’ untuk menjadi negara maju, walaupun perubahan sebegitu mungkin membawa cabaran seperti ketegangan politik atau sosial.

Pekerjaan berpendapatan tinggi untuk tarik rakyat Malaysia di luar negara

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani pula berkata, pekerjaan berpendapatan tinggi perlu diwujudkan bagi menarik kembali bakat Malaysia bekerja di luar negara.

Katanya, 20% daripada dua juta rakyat Malaysia di luar negara kini berada dalam jawatan eksekutif kanan, namun negara tidak mempunyai kapasiti untuk menawarkan gaji setimpal dengan bakat mereka.

“Kita perlu sediakan peluang sesuai supaya mereka mahu pulang dan berkhidmat kepada negara.

“Saya ingin melihat ekonomi negara berkembang ke tahap di mana kita mampu menyerap mereka kembali ke dalam sistem kita,” katanya.

Nungsari menambah satu daripada cara merealisasikannya adalah menerusi keusahawanan inovatif yang dapat memberi kelebihan daya saing kepada negara di peringkat serantau atau global.

“Ini satu-satunya cara untuk mengubah struktur pasaran buruh negara,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah Amirul Feisal Wan Zahir berkata pengekalan bakat memerlukan ekonomi tempatan yang rancak dan kukuh.

“Saya rasa tidak perlu campur tangan untuk kekalkan bakat, kecuali memastikan syarikat-syarikat kita berjaya. Apabila berjaya, mereka akan dibayar dengan lumayan,” katanya. “Biarkan persaingan memacu pasaran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.