
Hafaz Nazar dalam bicara 1MDB Najib, berkata beliau dan rakan setugas berkunjung ke Arab Saudi pada penghujung 2015 untuk bertemu seorang ‘Putera Saud Abdulaziz Al-Saud’, di Istana Arab Saudi.
Saksi yang juga ketika itu penolong pegawai penyiasat SPRM, ditemani Nasharudin Amir, Fikri Ab Rahim, pegawai atasan yang kini ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan timbalan pendakwa raya ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Kumpulan berkenaan berada di negara tersebut bagi menyiasat empat ‘surat derma’ dikatakan ditandatangani dan dihantar oleh seorang ‘putera’ kepada Najib, bertarikh 1 Feb 2011 dan 1 Jun 2014.
Hafaz berkata, beliau ditugaskan merakam kenyataan daripada ‘Saud’ menerusi wakil undang-undang, Abdullah Al Koman, dan individu dalam buruan, Tan Kim Loong, yang kebetulan berada di sana.
“Abdullah beri kepada kami (Hafaz dan Nasharudin) pengisytiharan berkanun daripada ‘Saud’.
“Dalam pengisytiharan itu, ‘Saud’ berkata beliau tidak dapat menemui dokumen sokongan bank mengenai transaksi (derma RM2.6 bilion),” katanya sambil menambah beliau hanya dapat mengeluarkan kandungan pengisytiharaan itu dan memasukkannya dalam kenyataan saksi SPRM.
Tan juga mengemukakan kepada pegawai SPRM salinan pengisytiharaan berkanunnya sendiri.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, sama ada beliau ada menyoal Abdullah salinan foto pasport kepunyaan ‘Saud’, Hafaz berkata permintaan itu ada dibuat, namun ditolak.
Akram: Adakah anda menyoal lanjut berdasarkan pengisytiharan berkanun mereka?
Hafaz: Kami ada beritahu mereka boleh beri maklum perkara tambahan, tetapi mereka beritahu kami bahawa apa yang mereka ingin katakan sudah ada dalam pengisytiharan
KPN mohon ketepi sepina beri keterangan
Awal hari ini, mahkamah diberitahu bahawa sepina telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara Razarudin Husain, minggu ini.
Penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri, Ilmami Ahmad berkata mereka menerima sepina itu pada Isnin, namun ia tidak menyebut kenapa kehadiran Razarudin diperlukan.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berkata mereka mahu Razarudin tampil dan memaklumkan kepada mahkamah keberadaan bekas pegawai bank, Roger Ng, termasuk status waran tangkap bekas peguam 1MDB, Loo Ai Swan.
Ilmani berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mengetepikan sepina berkenaan.
Perbicaraan bersambung 17 April, apabila mahkamah akan mendengar satu lagi permohonan mengetepikan sepina dikeluarkan terhadap ketua pengarah yang bertanggungjawab bagi program perlindungan saksi kerajaan.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion yang dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.