
Laporan tersebut berkaitan gambar bendera Malaysia yang dimuat naik di akaun Facebook akhbar itu, kata SKMM.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, menurut kenyataan.
“SKMM memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta polis dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, SKMM memberi amaran tegas kepada semua pihak agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap sifat.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” katanya.
Katanya lagi, SKMM komited memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.
Sementara itu, KDN memaklumkan ia menerima aduan berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang di Facebook Kwong Wah Yit Poh.
Kementerian dalam kenyataan di Facebook berkata ianya tidak boleh dikompromi dan akan disiasat di bawah peruntukan perundangan yang melibatkan media baharu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan polis memulakan siasatan ke atas akhbar Sin Chew Daily atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
KDN turut memulakan siasatan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.